Search This Blog

Wednesday, 30 October 2013

REZEKI ALLAH DI MANA-MANA

Assalamualaikum w.b.t,

Di sini ada satu perkongsian dari sahabat saya dan saya nak kongsikan dengan semua.
==========================================================================
Mari kita isi tempat kosong di bawah ini dengan jawapan yang kita fikirkan. (Mohon dijawab dengan jujur dan ikhlas di dalam hati kita masing-masing)

1. Allah menciptakan TERTAWA dan ____________.
2. Allah itu MEMATIKAN dan __________.
3. Allah menciptakan LELAKI dan __________.
4. Allah memberikan KEJAYAAN dan __________.

Mari kita lihat jawapan bagi tempat kosong di atas. Saya percaya majoriti daripada kita kan menjawab;

1. MENANGIS
2. MENGHIDUPKAN
3. PEREMPUAN
4. KEMISKINAN

Yakin jawapan itu benar? Untuk mengetahui adakah jawapan yang kita fikirkan seperti di atas itu benar atau tidak, mari kita rujuk jawapan-jawapan tersebut dengan rangkaian firman dari Allah s.w.t dalam surah An -Najm (53), ayat 43~45 dan 48 seperti berikut;

"Dan Dia-lah yang menjadikan orang TERTAWA dan MENANGIS." (53:43)

"Dan Dia-lah yang MEMATIKAN dan MENGHIDUPKAN." (53:44)

"Dan Dia-lah yang memciptakan berpasang-pasangan LELAKI dan PEREMPUAN." (53:45)

"Dan Dia-lah yang memberikan KEKAYAAN dan MENCUKUPKAN." (53:48)

Ternyata jawapan yang kita fikirkan pada umumnya adalah BENAR hanya pada ayat No.1, 2 dan 3 tetapi SALAH pada No.4 (secara JUJUR dan IKHLAS)

Jawapan dari versi Allah pada No.4 yang disampaikan di dalam Al Quran bukan KEMISKINAN sepertimana yang difikirkan oleh kita tetapi adalah KECUKUPAN.

==========================================================================
  
Maasha Allah...

Jelas di sini sesungguhnya Allah s.w.t hanya memberikan KEKAYAAN dan KECUKUPAN kepada hamba-hamba-Nya. Dan yang "menciptakan" KEMISKINAN itu adalah KITA sendiri. Perkara ini pada dasarnya adalah biasa mungkin disebabkan oleh faktor ekonomi, kemalasan dalam diri dan boleh jadi juga disebabkan oleh minda kita yang sudah di'set' yang kita tidak akan kaya atau tidak boleh kaya.


Dalam Budget 2014 yang dibentangkan baru-baru ini, dapat dilihat beberapa perkara akan menjadi satu isu yang besar contohnya GST, potongan subsidi dan kenaikan cukai. Apakah yang kita lihat di sini? Inflasi meningkat? Itu sudah pasti. Adakah kita akan terasa bebanan dan apakah tindakan yang terpaksa kita ambil sekiranya perkara ini terjadi.

Jika ini yang terjadi, nampaknya kita terpaksalah lebih berjimat cermat, kurangkan perbelanjaan, ikat perut dan sebagainya. 

Pada saya, TAK PERLU nak buat itu semua!!! Tak perlu nak ikat perut, tak perlu nak berjimat cermat, berbelanjalah seperti biasa. Jangan "MENGEMPISKAN" perbelanjaan tapi sebaliknya cuba untuk "MENGGEMUKKAN" pendapatan sedia ada.

INI MASANYA UNTUK ADA FIKIR DAN BUAT SESUATU UNTUK MENAMBAHKAN PENDAPATAN.

Keluar dari hidup BIASA-BIASA dan hidup secara LUAR BIASA. Rezeki Allah ada di mana-mana cuma kita saja yang perlu tahu cara dan berusaha untuk mendapatkannya.

Andaikata GST dikenakan sebanyak 6%. Adakah bermaksud kita terpaksa kurangkan perbelanjaan kita sebanyak 6% atau sebaliknya kita boleh berusaha 6% lebih dari sekarang untuk tambahkan pendapatan kita sebanyak 6% lebih banyak. 6% tindakan dan usaha kita akan menentukan sama ada kita akan hidup 6% lebih susah dari sekarang ataupun 6% lebih senang di kemudian hari. Kita sendiri yang perlu membuat pilihan.

Tetapi, biasanya bila kita berusaha lebih walaupun hanya 6% dari biasa, apa yang kita akan dapat balik bukanlah sekadar 6% sebaliknya lebih dari itu.

WHAT YOU GIVE, YOU GET BACK MORE

Sekali lagi diulang, rezeki Allah ada di mana-mana sahaja. Terpulang kepada kita bagaimana untuk mencari dan mendapatkannya. Antara pilihan terbaik adalah berniaga/bisnes. Tak kiralah sama ada online ataupun offline tapi selalunya online akan menjadi pilihan ramai kerana tidak memerlukan modal dan masa yang banyak. Facebook merupakan satu platform yang terbaik untuk berniaga kerana disitulah satu-satunya tempat yang menjadi tumpuan ribuan manusia.

TERINGIN NAK BISNES TAPI TAK TAU NAK JUAL APA...

Ok, saya akan kongsikan sesuatu untuk membantu anda. Ini adalah idea dari seorang kenalan yang saya anggap sebagai mentor saya, Tuan Haji Mohd Firdaus Mat Saad. Anda hanya perlu copy dan paste ke wall Facebook anda dan post. Pasti ramai yang akan mengemukakan peluang untuk anda.

"Assalamualaikum, Saya berhasrat untuk memulakan bisnes secara online menggunakan facebook tetapi saya tidak mempunyai produk.

Berapa ramai di antara anda yang ada produk yang bagus dan mahu saya pasarkan produk anda? Jika anda sudi memberi tunjuk ajar kepada saya, saya sangat berminat untuk menjadi agen anda.

Oppsss...lagi satu. Kalau boleh saya nak cari bisnes yang modal kecil. Sebab saya agak kekurangan modal."

Insha Allah, saya yakin pasti ramai yang akan menolong anda.


Atau satu lagi cara, anda boleh dapatkan Audio CD "Idea Bisnes dari Rumah" oleh Saudara Rahman Basri dan ianya adalah PERCUMA!!!

Anda boleh dapatkannya di link ini;    http://bit.ly/1aeMpGg


Mungkin ia boleh membantu anda untuk memilih jalan mana yang anda hendak tujui.

Diharap perkongsian ini memberi satu manfaat kepada anda dan mampu menjadi pendorong dalam anda keluar dari hidup biasa-biasa kepada hidup LUAR BIASA. Jika tidak keberatan, saya mohon untuk anda "LIKE" dan "SHARE" perkongsian ini dengan kenalan anda. Semoga mereka juga mendapat manfaat dari perkongsian ini dan diharap dengan perkongsian ini juga mampu menambah saham kita di akhirat kelak.

Wallahu 'Alam.


Friday, 25 October 2013

DUGAAN MEMBESARKAN ANAK-ANAK


Sebagai ibu bapa, melihat proses perkembangan dan pembesaran anak-anak merupakan satu kepuasan. Pelbagai gelagat dan keletah dapat disaksikan sepanjang proses pembesaran mereka. Merekalah pengubat di kala rindu, merekalah penghibur di kala sunyi dan mereka jugalah dugaan yang mengajar kita dalam proses menjadi ibu bapa yang terbaik.

Ibu bapa memainkan peranan paling penting dalam mendidik anak-anak

Sedar atau tidak, perkembangan sikap anak-anak dipengaruhi oleh cara ibu bapa itu sendiri dalam mendidik anak-anak. Tidak dinafikan pengaruh dari luar juga memainkan peranan dalam pembentukan anak-anak tetapi ibu bapa itu sendirilah yang berperanan dalam mengawal pendedahan tersebut kepada mereka.

Ibu bapa sekarang terlampau sibuk dengan urusan kerja, mereka lebih selesa menyerahkan segala tugasan mendidik anak-anak kepada pihak ketiga seperti pusat jagaan kanak-kanak mahupun guru di tadika. Walaupun ini adalah satu pilihan yang terpaksa diambil disebabkan faktor masa yang terhad untuk dibahagikan antara anak-anak dan kerja, tugas utama dalam mendidik dan membentuk anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa itu sendiri. 

Dalam pemerhatian saya berdasarkan pengalaman bersama dan membesarkan anak-anak, perubahan ketara pada sikap mereka adalah apabila mereka berada di sekeliling ataupun bersama kita. Ini kerana pada waktu inilah mereka mahukan perhatian daripada kita. Cara kita dalam memberikan perhatian dan berkomukasi dengan mereka inilah yang akan membentuk sikap dalam diri mereka.


Saya dan isteri, Sha bersyukur kami dikurniakan dua malaikat kecil dalam hidup kami sebagai penyeri. Awliya Batrisya kini berusia 5 tahun manakala adiknya Ateeya Delisha kini 1 tahun 8 bulan. Apa yang saya nak kongsikan di sini adalah pengalaman kami dan dugaan yang di hadapi dalam proses melihat anak kami membesar. Saya percaya ibu bapa lain juga melalui proses yang sama seperti mana kami alami. Perkongsian ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan memperingati sesama kita tentang apa yang patut kita lakukan dan elakkan dalam membesarkan anak-anak di samping tips-tips penting yang patut kita amalkan dalam mendidik malaikat kecil kita.

 Apakah perkara yang paling mencabar dalam membesarkan anak-anak?

Bagi saya sikap KEDEGILAN anak-anak adalah cabaran yang paling besar kami hadapi. Ia betul-betul mengugat tahap kesabaran yang ada. Jika kita lemah dalam menghadapinya, kita pasti akan tertewas dengan godaan syaitan.

Sabar adalah sebahagian daripada Iman dan disebabkan inilah Syaitan akan mencuba sedaya boleh untuk meruntuhkannya. Akibatnya, anak-anaklah yang akan menjadi mangsa.

Tetapi jika kita fikir dari sudut positif, kedegilan anak ini adalah satu ujian yang Allah turunkan dalam membentuk peribadi diri. Jika cantik pembentukkan dalam diri kita maka cantiklah apa yang kita corakkan pada anak-anak kita kerana sikap anak-anak itu sendiri adalah cermin yang memaparkan keperibadian kita.


Anak sulung kami Awliya Batrisya lebih suka bermain sendirian daripada bermain dengan adiknya Ateeya. Mungkin faktor jarak usia membuatkannya merasa kurang selesa untuk bermain dengan adiknya yang dirasakan tidak sebaya. Sekiranya dia bermain dengan kawan-kawannya pun, tumpuan langsung tidak diberikan kepada adiknya. Tetapi ada waktu dan ketika mereka akan bermain bersama-sama tapi selalunya akan berakhir dengan pertengkaran dalam merebut sesuatu barang.

Apa yang kami lihat, Awliya sudah mula mempunyai identiti sendiri. Dia lebih suka melakukan perkara yang dia suka tanpa gangguan dan sukar menerima teguran ataupun arahan terutamanya apabila dia sedang khusyuk melakukan sesuatu. Apabila dia mahukan sesuatu, dia akan pastikan apa yang dimintanya dapat ataupun dipenuhi, jika tidak dia akan memberontak. Apabila disuruh melakukan sesuatu, dia tidak akan memberi respond bak kata orang buat 'dono'. Tetapi di sebalik kekerasan itu, apabila 'diugut' atau diacah, dia akan mudah menangis. Dia lebih manja daripada adiknya. Itu yang membuatkan saya lebih suka mengacaunya. Dan satu lagi, apabila kita berjanji dengannya, dia akan pastikan kita mengotakannya jika tidak dia akan sentiasa memperingati kita. Letih dibuatnya.

Sikapnya yang degil betul-betul menguji kesabaran saya sehinggakan satu tahap saya terpaksa menggunakan kekerasan dengan merotannya. Tapi apabila difikirkan, sebenarnya cara kekerasan akan membuatkan keadaan menjadi lebih buruk. Ia akan membuatkan anak-anak lebih memberontak. Apa yang mereka buat sebenarnya adalah untuk mendapat perhatian daripada kita sebagai ibu bapa. Mereka mahu dimanja dan dibelai. 

Kekerasan akan membuatkan anak lebih memberontak

Kita sebagai orang dewasa perlu berfikir secara rasional sebelum mengambil sesuatu tindakan dan kini saya sedar cara kekerasan bukanlah cara yang terbaik untuk mendidik anak bahkan ia tidak akan memberi kesan yang kita harapkan. Sebaliknya ia akan meninggalkan kesan negatif di dalam diri anak itu sendiri di mana dia tidak akan patuh pada kita dan yang lebih teruk lagi dia akan takut untuk mendekati kita. Sebagai ibu bapa, bukan itu yang kita mahukan.


Jadi, apa yang patut kita buat sekiranya menghadapi situasi seperti anak tidak mahu dengar cakap/arahan, tidak mahu buat apa yang di suruh, memberontak atau dalam erti kata lainnya DEGIL. Pertama sekali kita mesti tahu kenapa mereka bersikap sedemikian.

Pada usia ini, anak-anak akan menunjukkan ketegasannya. Dia mahu kita faham yang di tidak suka di arah. Dia akan buat sekiranya dia suka. Jadi sebagai ibu bapa, kita mesti pandai menggunakan pendekatan psikologi bukannya kekerasan.


Fahami anak-anak
Sekiranya anak-anak tidak mendengar apa yang disuruh atau diarah, menggunakan kekerasan atau paksaan hanya akan membuatkan anak itu menangis dan lebih memberontak. Sekiranya dia sedang khusyuk melakukan sesuatu, pergi dekat padanya, pujuk dan beritahu dengan lembut. Terangkan kenapa dia perlu lakukan apa yang disuruh.  

Had dan kawal aktiviti
Biarkan mereka lakukan apa yang mereka suka tapi pastikan ia dalam kawalan. Ini lebih baik daripada menghalang. Buat mereka faham kenapa mereka perlu mematuhi had yang ditetapkan.

Perhatian yang diberikan membuatkan mereka rasa dekat dengan kita

Beri perhatian dan pujian.
Sentiasa luangkan masa untuk mendengar dan melihat apa yang mereka ingin sampaikan atau tunjukkan. Anak-anak mahu diberi perhatian bagi merasakan diri mereka disayangi. Puji mereka pada setiap masa, ini akan membuatkan mereka gembira dan berada dalam 'mood' yang baik. Apabila berada dalam 'mood' yang baik, mereka lebih mudah untuk patuh.

Jadi 'role model' kepada mereka
Jangan sesekali menunjukkan sikap yang tidak baik di depan mereka kerana pada usia sebegitu mereka akan mudah meniru apa yang kita lakukan. Tunjuk amalan yang baik di hadapan mereka contohnya solat. Ini akan menjadi satu pendidikan yang tidak langsung. Lama-kelamaan mereka akan turut untuk solat bersama kita.

Gunakan pendekatan yang lembut dalam menegur anak-anak. Kekerasan tidak akan memberi kesan yang kita harapkan.

Bertenang apabila marah
Jangan menegur anak dalam keadaan marah. Ini akan lebih mengeruhkan keadaan. Apabila dalam keadaan marah, jauhkan diri sebentar daripadanya dan kembali untuk memujuk atau menasihat apabila sudah tenang. Anak-anak akan lebih merasa hormat dengan cara ini. 

Beri peluang membuat pilihan
Anak-anak akan berasa selesa apabila mendapat apa yang dipilih. Sekiranya pilihan mereka tidak kena pada waktunya, cuba alihkan perhatian mereka dengan pilihan lain yang dirasakan lebih baik. Ini dapat mengajar mereka dalam membuat pemilihan yang baik dalam waktu yang tepat dan bersesuaian.


Luangkan lebih masa
Masa yang berkualiti diberikan kepada anak-anak akan membuatkan mereka berasa lebih dekat dengan kita dan membuatkan mereka rasa selamat. Selalulah rancang aktiviti yang berfaedah untuk diluangkan bersama mereka.


Apa yang dikongsikan di sini bukanlah 100% cara terbaik dan berkesan. Semuanya bergantung kepada cara ibu bapa itu sendiri dalam mengolahnya bersesuaian dengan sikap anak-anak. Apa-apa pun, kita yang lebih dewasa mempunyai pemikiran yang lebih matang dalam membuat keputusan. Jika kita menunjukkan satu pendekatan yang positif, perubahan ke arah kebaikkan itu akan timbul dengan sendirinya di dalam diri mereka.

Di harap perkongsian ini sedikit sebanyak memberi manfaat dan menambah nilai dalam hidup kita untuk membentuk anak-anak kita menjadi insan yang lebih baik dan kita impikan.

Wallahu 'Alam...

Sekiranya anda rasa entri ini memberi anda manfaat dan mampu membantu orang lain, di harap tidak keberatan untuk "LIKE" dan "SHARE" entri ini.

Pastinya Syaitan akan berbisik;

" Sudahlaaahhhh.... Tak payah SHARE lah. Tak penting pun. BUANG MASA saja, tak mungkin orang lain nak layan..."

Sekecil apapun amal ibadah, Allah s.w.t menghargai puluhan kali ganda..

Rasulullah sendiri pun sentiasa berpesan kepada umatnya,

"Sampaikanlah walaupun satu ayat.."

Semoga perkongsian kita menjadi satu saham yang dapat membantu kita di akhirat kelak. Insha Allah...

Sunday, 20 October 2013

"JEPUN" > "PERANCIS" > GENTING HIGHLANDS DALAM SATU HARI

Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, dengan rezeki yang Allah bagi, baru-baru ni berpeluang untuk bawa anak-anak makan angin. Dah lama rasanya tak bawa anak-anak bercuti. Lagipun sempena meraikan Hari Lahir Awliya Batrisya(Kakak) yang ke-5, saya dan isteri, Sha buat keputusan untuk bawa anak-anak jalan-jalan makan angin dan "melihat dunia"

Seronok bukan main Kakak bila saya bagitau dia yang kami nak bawa dia ke Jepun dan Perancis dalam hari yang sama. Nampak hebat bukan, Jepun dan Perancis dalam hari yang sama. Sebenarnya bukan ke luar negara pun, masih lagi dalam negara. Tak perlu pun untuk naik kapal terbang, hanya berkereta. Tempat yang saya maksudkan adalah Bukit Tinggi, Pahang.

Di situ terdapat tempat-tempat yang menarik untuk dilawati antaranya Japanese Village, Colmar Tropicale dan Taman Haiwan. Boleh la nak merasa suasana berada di luar negara, yang penting seronok.  

Ikutilah perjalanan kami sepanjang satu hari tersebut. Semoga boleh menjadi rujukan kepada sesiapa saja yang ingin bercuti dan meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak dan keluarga.

Jarak dari Sungai Buloh ke Bukit Tinggi lebih kurang 55km dan mengambil masa dalam 1 jam perjalanan dengan kereta. Kami bergerak seawal jam 10 pagi.

 Sebelum naik ke atas, kena beli tiket dulu tapi tak perlu turun dari kereta.

Destinasi pertama adalah Japanese Village. Ia terletak pada ketinggian lebih kurang 3,500 kaki dari aras laut. Punyalah curam nak naik, nasib berkereta. Itupun masih perlu berjalan untuk ke Japanese Village. Di sini memang banyak "exercise" lah. Apa yang terdapat di Japanese Village? Ini dia...


Di dalam kolam tu terdapat ikan kap/koi yang besar dan cantik. Boleh beli makanan ikan dengan harga RM1 untuk menarik ikan-ikan tu lebih dekat dan mudah bergambar. Anak-anak memang suka.

Dah puas berjalan di Japanese Village, destinasi seterusnya adalah Colmar Tropicale (Replika Bandar Perancis). Kedudukannya di bawah sedikit dan agak jauh dari Japanese Village jadi perlu berkereta untuk turun ke bawah. Tempat parking di sediakan percuma. 

Colmar Tropicale adalah koleksi replika bangunan-bangunan dari perkampungan di Perancis pada kurun ke 16. Bangunan-bangunan ini bukan hanya sekadar replika, tapi adalah rumah tumpangan ataupun resort. Kadar harga untuk semalam adalah serendah RM400 kalau saya tidak silap.


Puas bejalan di bandar Perancis, kami turun ke bawah lagi. Di situ terdapat taman haiwan. Itu destinasi kami seterusnya. Tiket masuk adalah RM3 seorang. Kanak-kanak di bawah 2 tahun adalah percuma jadi kami hanya perlu bayar untuk 3 orang sahaja. 
 
Dengan berakhirnya masa kami di Taman Haiwan, maka tamatlah sudah percutian kami di Bukit Tinggi. Tapi memandangkan masa yang ada masih banyak, takkanlah nak balik terus kan. Genting Highlands dekat je pun. Dah alang-alang bercuti di kawasan situ, kami buat keputusan untuk ke Genting Highands pulak.

Jarak untuk ke puncak Genting Highlands dari Taman Haiwan lebih kurang 30km dan akan memakan masa hampir satu jam disebabkan mendaki bukit dan jalan berliku-liku. Jadi kami ambil keputusan untuk parking di Skyway sahaja dan naik kereta kabel ke atas. Dapatlah juga anak-anak merasa perasaan naik kereta kabel ke atas.




Kebetulan saya ada seorang rakan bikers yang bekerja di Hotel Resort World jadi kami pun berjumpa dan minum bersama sambil bersembang. Dari apa yang dia beritahu, Outdoor Theme Park sedang ditutup untuk menggantikan alat permainan yang baru. Semua permainan yang ada sekarang akan di gantikan. Ini dilakukan oleh pihak pengurusan yang baru mengambil alih taman permainan itu dan mahukan permainan yang baru dan lebih menarik dimasukkan bagi menarik lebih banyak pelawat.

Permainan yang ada sekarang sudah tidak mampu menarik minat pelawat jadi pelawat yang naik ke atas untuk bermain permainan di Outdoor Theme Park semakin berkurangan. Tambahan pula dengan adanya Lost World of Tambun di Perak dan Legoland di Johor. Proses penggantian semula permainan baru dan pembaikan sistem pengurusan dijangka mengambil masa 3 tahun dan dalam tempoh itu jugalah Outdoor Theme Park akan di tutup.

Yang menjadi tarikan sekarang hanyalah Indoor Games. Sekurang-kurangnya dapat jugalah kami berjalan-jalan di situ.


Tamat sudah perjalanan percutian sehari kami. Kami tiba di rumah lebih kurang jam 8.30 malam. Satu hari yang meletihkan tapi dalam keseronokan.

Di harap entry ini dapat menjadi rujukan kepada sesiapa yang ingin mencari tempat bercuti dan berseronok untuk membawa anak-anak dan keluarga. Bagi saya ini adalah satu percutian budget. Tiga tempat dalam satu hari memang menyeronokkan. Bulan depan kami bercadang untuk bercuti dan bermalam di satu tempat yang menarik. Di mana?? Nantikan entry yang seterusnya...

Syukur Alhamdulillah dengan rezeki dan kenikmatan yang Allah berikan.

Wallahu A'lam.

Friday, 18 October 2013

JUMAAT : ADAB & SUNNAH

Assalamualaikum w.b.t

Allah..Allah..

Begitu cepat masa berlalu. Pejam celik, pejam celik dah Jumaat lagi. Tak sedar masa berlalu dengan begitu cepat. Kadang-kadang saya terfikir, apa yang sudah saya buat dalam tempoh seminggu ni. Apa yang sudah saya capai, berapa banyak orag yang sudah saya bantu, apa perkara yang saya rancang nak buat tapi saya tak buat dan bila pulak nak buat, macam-macam lagi la.

Kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Tapi dalam perancangan, kebanyakan asbab kegagalan adalah berpunca dari kita sendiri. Masa bukan sesuatu yang boleh di undur untuk kita merubah atau memperbaiki kesilapan kita yang lalu.

"Don't Waste Your Time Looking Back At What You've Lost,
Move On, Life is Not Meant To Be Traveled Backwards."
 
OK, Cukuplah bab masa, bukan itu yang saya nak kongsikan dalam entri kali ini. Mungkin dalam entri yang lain boleh cerita pasal masa pulak. 

Hari ni hari Jumaat, jadi nak sambung berkongsi pasal Jumaatlah, Penghulu Segala Hari. Entri kali ni nak kongsi mengenai ADAB & SUNNAH pada hari Jumaat.

 
Seelok-eloknya amalan dimulakan dari malam Jumaat lagi tapi apa yang saya nak kongsikan di sini khusus untuk hari Jumaat itu sendiri terutamanya dalam kita nak mengerjakan solat Jumaat supaya kita dapat manfaatkan sebaik-baik mungkin akan hari yang paling istimewa dalam segala hari. Jadi mari kita lihat apakah yang boleh dan patut kita amalkan mengikut adab dan sunnah;

1. Mandi Sunat Jumaat

Afdhalnya mandi sunat Jumaat dilakukan sebelum kita ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat tetapi kebanyakan kita bekerja pada hari Jumaat jadi bolehlah mandi semasa nak bersiap ke pejabat atau tempat kerja.


2. Membersihkan diri

Secara fitrahnya ada 5 perkara yang perlu dijaga oleh setiap orang akan kebersihannya pada setiap masa. Mungkin ada yang terlupa tapi bolehlah dijadikan sebagai peringatan dan amalan untuk melakukannya pada setiap hari Jumaat terutamanya sebelum masuk waktu solat Jumaat. Di samping membersihkan diri, kita juga akan mendapat pahala sunat kerana melakukannya pada hari Jumaat. Antara 5 perkara tersebut adalah;
  • Mencuci bahagian-bahagian yang berkaitan bagi lelaki dan perempuan
  • Memotong kuku
 
  • Menipiskan misai dan mengemaskan janggut bagi membezakan diri dengan kaum Yahudi dan Majusi
  • Mencukur bulu ketiak, lebih baik sekiranya boleh dicabut tapi memadai dengan bercukur. Jangan dibiarkan bulu ketiak memanjang tanpa dipotong melebihi 40 hari 
  • Akhir sekali memotong atau mencukur bulu ari-ari kerana ianya adalah tempat sensitif yakni tempat untuk mendapatkan zuriat. Jadi hendaklah sentiasa dalam keadaan bersih dan terjaga.

3.  Memakai baju yang cantik dan bersih ataupun baru dan memakai haruman

Digalakkan memakai baju berwarna putih kerana ianya adalah warna kesukaan Rasulullah. Haruman digalakkan supaya orang yang duduk disebelah kira merasa selesa. Janganlah sampai bau terlalu kuat atau haruman yang tidak selesa baunya hingga orang melarikan diri dan memcahkan saf. Kaum perempuan yang membantu dalam menyediakan atau menyiapkan pakaian dan keperluan kaum lelaki atau suami untuk menunaikan solat Jumaat juga akan mendapat pahala walaupun tidak menunaikan solat Jumaat. Mudah dan untung kan...



Ini baru persediaan untuk pergi ke masjid menunaikan solat Jumaat. Bila dah ke masjid pun banyak lagi adab-adab yang perlu kita tahu dan amalkan. Walaupun sesuatu amalan yang kecil, tapi rebutlah peluang untuk melakukannya kerana pahala yang akan diberikan amat banyak. Antaranya adalah;

1. Datang awal ke masjid dan duduk di saf hadapan

Disebut dalam kitab Imam Al Ghazali, Raulullah pernah berkata, "Sekiranya manusia tahu keberkatan datang awal dan duduk di saf hadapan, pasti manusia akan berebut-rebut."
Jika diperhatikan, sebab itulah kebanyakan ulamak akan mengambil tempat duduk di saf hadapan kerana mereka tahu akan kelebihannya jadi mengapa tidak kita juga mengambil peluang ini untuk medapat lebih keberkatan dan pahala.


2. Melangkah masuk masjid dengan kaki kanan dan membaca doa masuk masjid.



3. Niat beriktikaf di dalam masjid dan solat sunat Tahiyyatul masjid.


Jika sewaktu masuk ke masjid, azan sedang berkemundang, dengar dan jawab azan terlebih dahulu bagi menghormati azan. Selepas itu barulah solat tahiyyatul masjid. Solat dengan ringkas jika khutbah hampir dimulakan. 

Mendengar khutbah itu adalah wajib sekurang kurangnya 40 jemaah. Solat Tahiyyatul masjid adalah sebagai tanda menghormati masjid sepertimana kita tawaf apabila masuk ke Masjidil Haram. Jadi jika tak sempat untuk solat tahiyyatul masjid dan khutbah sudah dimulakan, memadai dengan membaca surah Al Fatihah sahaja bagi memendekkan solat. Dan yang paling penting, jangan bercakap-cakap ketika khatib sedang membaca kutbah kerana ini akan mengurangkan pahala. Saya percaya kita selalu mendengar bilal memberi peringatan sebelum khatib memulakan khutbah.


4. Berjalan dengan tertib dan beradab.

Ketika di dalam masjid, janganlah melangkah bahu seseorang jika ingin ke saf hadapan. Sebaliknya minta izin untuk lalu di celah jemaah yang ada. Ini bagi menghormati jemaah lain terutamanya ketika mereka sedang khusyuk mendengar khutbah.


5. Memperbanyakkan Selawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w

Selawat merupakan tanda kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah s.a.w. Setiap daripada selawat yang dilafazkan akan diberikan ganjaran yang besar di akhirat kelak. Ia juga menjadi zikir yang perlu diamalkan setiap hari untuk melembutkan hati dan menyemai rasa cinta kepada Baginda SAW. Jadi sesiapa yang ingin berada di sisi Rasulullah di akhirat nanti, perbanyakkanlah selawat kepadaNya terutama sekali pada hari Jumaat.
 
 

Semoga perkongsian di atas sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para pembaca blog ini. Ini adalah kesinambungan kepada Amalan Sunat Hari Jumaat dalam entri yang lepas. Jadi marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan kita pada hari Jumaat bagi mendapat keberkatan dan keredhaan Allah. Semoga kita menjadi seorang hamba yang bertakwa dan dikurniakan ganjaran syurga Firdaus di mana di bawahnya mengalir anak sungai yang airnya putih seperti susu dan manis seperti madu.

Wallahu A'lam.

Sabda Rasulullah s.a.w

"Siapa yang menyampaikan satu ilmu dan orang yang membacanya mengamalkannya, maka dia akan beroleh pahala walaupun sudah tiada."

Jika tidak menjadi keberatan, mohon untuk "LIKE" dan/atau "SHARE" post ini bagi menyampaikan dan memperingati kepada lebih ramai orang. Moga ia mampu menjadi satu saham untuk kita di akhirat kelak.

Wednesday, 16 October 2013

JALAN-JALAN, HIBURKAN ANAK-ANAK

Assalamualaikum w.b.t

Ada soalan yang saya nak tanya?

"Bilakah kali terakhir anda menaiki 'train'(keretapi)?"

Tak kisahlah apa jenis train.LRT, KTM, Monorail... Tapi soalan ni bukan untuk anda yang memang hari-hari naik train pergi balik kerja sebab itu memang dah jadi rutin harian anda.

Soalan seterusnya, "Pernahkah anak anda naik train yang ada di Malaysia?"

Kalau anak yang dah besar tu, yang selalu keluar dating dengan pakwe/makwe, biasa la kalau naik train.

Ini agak nostalgic bagi saya. Seingat saya kali terakhir saya naik train adalah pada tahun 2004. Itu pun waktu 'study' di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak. Waktu tu masih belum kahwin jadi train tu dah jadi macam kenderaan utama bila keluar berdating.

Tahukah anda di Malaysia terdapat 6 jenis train;
1. Putra LRT
2. KTMB
3. Star LRT
4. KL Monorail
5. Putrajaya Monorail
6. Express Rail Link (ERL)

Antara jenis 'train' yang terdapat di Malaysia

Saya tinggal di Sungai Buloh, berdekatan dengan stesyen KTM Sungai Buloh jadi kerap kali akan ternampak train KTM yang lalu di situ. Anak-anak saya yang masih kecil selalulah teruja setiap kali melihat train yang lalu dan sentiasa bertanya,

"Ayah, Ibu.. Bila kita nak naik train?"

Itulah soalan yang selalu keluar setiap kali melihat train. Saya dan wife, Sha pula hanya mengenang kembali nostalgia lama. Dah lama kami tak naik train sejak ada kenderaan sendiri. Kesian anak-anak tak pernah merasa. Nak di bawa untuk cuba naik pun seperti tak ada keperluan dan tak tahu ke mana nak pergi dengan menaiki train. Kami memang jenis yang tak akan masuk KL sekiranya tak ada urusan penting. Malas nak menempuh kesesakan dan kesukaran mencari 'parking'. Kalau nak naik train pun rasa malas nak berjalan jauh-jauh.

Perkara ini berlanjutan sehinggalah baru-baru ini soalan ini makin rancak di tanya oleh anak saya. Merasakan kasihan dan perlu untuk kami 'expose' anak-anak kami dengan kemudahan dan kemajuan yang ada di Malaysia, kami pun merancang untuk membawa mereka mencuba untuk menaiki train tersebut.

Kebetulan, sehari sebelum Raya Haji baru-baru ini, saya berpeluang untuk pulang kerja lebih awal jadi saya pun menghubungi Sha lalu merancang untuk membawa anak-anak keluar berjalan-jalan menaiki train. Ke mana lokasi masih belum di fikirkan.

Setibanya saya di rumah, anak-anak dan Sha sudah siap sedia, hanya perlu memikirkan ke manakah tujuan kami. Akhirnya kami membuat keputusan untuk ke Mid Valley kerana perjalanan yang mudah dengan KTM Komuter.

Kami terus keluar berkereta ke stesyen KTM. Disebabkan stesyen Sungai Buloh dalam proses naik taraf dan projek MRT yang terbaru, jadi kami terus ke stesyen yang berikutnya iaitu Kepong Sentral. Hanya 15 minit perjalanan dari rumah dan lebih mudah untuk 'parking' kereta.

Sampai di sana kami terus membeli tiket. Untuk memudahkan urusan, kami membeli terus tiket untuk 2 arah perjalanan, pergi dan balik. Harga tiket dari Kepong Sentral ke Mid Valley untuk 2 arah adalah RM 3.20 untuk dewasa dan RM 1.60 untuk kanak-kanak.

Menunggu ketibaan KTM Komuter. Seronok bukan main

Perasaan lain macam. Tak macam naik kereta. Ramai orang di sekeliling


Perjalanan dari Kepong Sentral ke Mid Valley mengambil masa lebih kurang 40 minit. Harus melalui 5 stesyen untuk sampai ke sana.

Laluan KTM Komuter dan stesyen-stesyen yang harus di lalui.

Sampai di sana apa lagi. Jalan-jalan je la. Tujuan sebenar untuk bawa anak-anak merasai naik train dah tercapai. Selebihnya hanya berjalan-jalan buang masa aje la. Dalam tengah menghabiskan masa tu, ternampaklah Fun Park untuk kanak-kanak. Anak-anak kecil mana yang akan duduk senyap bila nampak Fun Park. Memang dah tak ada apa yang nak di buat, tujuan utama pun memang nak menghiburkan anak-anak, jadi singgahlah sebentar untuk diorang berseronok.

 Kudaku lari gagah berani. Ehh... Kenapa pusing-pusing aja.

Dah besar nanti, dah banyak duit beli kereta Ferrari, bolehlah bawak Ibu dan Ayah jalan-jalan pulak.

 Isi minyak dulu...

 Tak puas main kat Fun Park, sambung pulak main kat luar. Nasib syiling ada ngam-ngam ja.


MegaKidz tak sempat nak masuk sebab tak ada rancangan awal. Mungkin lain kali. Tapi harganya agak mahal. Untuk ibu bapa yang nak enjoy shopping tanpa gangguan anak-anak, boleh tinggalkan anak-anak di sini. Ia adalah "Day-Care".

Tapi harga untuk "Drop & Shop", maksudnya tinggal anak dan enjoy shopping adalah, jeng..jeng..jeng...

Kadar Bayaran Mengikut Jam
  • 4 tahun dan ke atas
    RM 40.00 seorang setiap jam
  • 15 bulan hingga 3 tahun
    RM 50.00 seorang setiap jam
  • 2 bulan hingga 14 bulan (Infant)
    RM 60.00 seorang setiap jam
Sanggup ke Jah??
Dah puas berjalan dan bermain, kami pun bergerak balik. Lebih kurang dalam pukul 5 petang. Kena gerak cepat, takut bersesak dengan orang balik kerja nanti.


Rasulullah s.a.w menghiburkan Anak Kecil yang Kematian Bapanya dalam Peperangan.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari raya, Rasulullah s.a.w keluar rumah untuk menunaikan solat AidilFitri. Di tengah jalan, baginda melihat ramai anak-anak kecil sedang bermain dengan penuh gembira sambil ketawa. Mereka mengenakan baju baru, kasut mereka pun nampak berkilat. Tiba-tiba pandangan Baginda tertumpu pada salah seorang anak kecil yang sedang duduk menyendiri dan sedang menangis tersedu-sedu. Bajunya compang camping dan kakinya tidak berkasut. Rasulullah s.a.w pun mendekatinya, lalu di usap-usapnya kepala anak kecil itu sambil mendakapnya ke dada Baginda seraya bertanya,

"Mengapa engkau menangis, Nak?"

Anak kecil itu hanya menjawab, "Biarlah aku bersendirian." Anak itu belum tahu lagi bahawa orang yang berada di hadapannya itu adalah Rasulullah s.a.w yang terkenal dengan sifat pengasih. Maka anak kecil itu pun berkata,

"Ayahku mati dalam suatu peperangan bersama Rasulullah." Sambung anak kecil itu, "Lalu ibuku kahwin lagi. Seluruh hartaku diambil oleh suami ibuku itu, lalu aku di halau keluar dari rumahnya. Sekarang aku tidak mempunyai baju baru dan makanan untuk dimakan. Aku sedih melihat kawan-kawanku bermain dengan riang dan gembira itu."

Maka Rasulullah s.a.w lantas membimbing anak kecil tersebut seraya MENGHIBURKANNYA, "Sukakah kamu bila aku menjadi bapakmu, Fatimah menjadi kakakmu, Aisyah menjadi ibumu, Ali sebagai saudaramu, Hassan dan Hussain menjadi anak saudaramu?"

Dengan itu, anak itu segera mengetahui dengan siapa dia bercakap. Maka langsung dia berkata, "Mengapa pula aku tidak suka, ya Rasulullah." Kemudian, Rasulullah s.a.w pun membawa anak kecil itu ke rumah baginda dan memberinya pakaian yang paling cantik, memandikannya dan menghiaskan diri anak kecil itu agar dia nampak lebih bergaya, lalu mengajaknya makan.

Sesudah itu, anak kecil itu pun keluar bermain dengan kawan-kawannya yang lain sambil berketawa-ketawa dan keriangan. Melihat akan perubahan pada anak kecil itu, kawan-kawannya merasa hairan lalu bertanya, "Tadi kamu menangis, mengapa kamu sekarang gembira?"

Jawab anak kecil itu, "Tadi aku kelaparan, sekarang aku sudah kenyang. Tadi aku tidak mempunyai pakaian, sekarang aku sudah ada pakaian. Tadi aku tidak mempunyai bapa, sekarang bapaku Rasulullah dan ibuku Aisyah."

Anak-anak kecil yang lain berbisik, "Wah, andaikan bapa kita mati dalam peperangan pada hari-hari berikutnya, anak kecil itu tetap dipelihara oleh Rasulullah s.a.w sehingga baginda wafat."

Allah, Allah, Allah...

Lihatlah dalam kisah ini bagaimana baginda Rasulullah sendiri melakukan bermacam-macam perkara bagi menghiburkan seorang anak kecil yang kematian bapanya. Yang bukan anaknya pun.

Kita patut bersyukur kerana masih diberi masa bersama anak-anak, masih punya peluang bermain dengan mereka. Mereka masih boleh bermanja-manja dengan kita. Betapa berharganya masa itu dan betapa bertuahnya kita dan anak-anak kita jika nak dibanding dengan anak-anak yatim mahupun ibu bapa yang kematian anaknya.

Jadi, manfaatkanlah masa itu dengan sebaiknya. Luangkan lebih masa yang berkualiti bersama mereka dalam mendidik dan mencurahkan kasih sayang. Jangan terlalu sibuk mengejar kemewahan sedangkan anak-anak dan keluarga terabai. Marilah kita sama-sama muhasabah dan mengingati diri kita untuk sentiasa membahagiakan orang-orang di sekeliling kita.

Wallahu 'Alam


  Malaikat Kecil kami;
Awliya Batrisya - 5 tahun
Ateeya Delisha - 1 tahun 8 bulan