Search This Blog

Sunday, 13 October 2013

ANAK : ANUGERAH, AMANAH & UJIAN

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengimpikan rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata yang comel. Kehadiran anak di dalam sesuatu keluarga bukan sahaja sebagai penyambung warisan malah kehadiran mereka merupakan suatu amanah dari Allah yang membawa kebahagian, rahmat, membuka pintu rezeki bahkan juga merupakan satu ujian yang di datangkan dari Allah s.w.t. Ini juga adalah sebagai tanda penunjuk akan bukti kebesaran dan kekuasaan Allah, Maha Pencipta Sekelian Alam.


ANAK PEMBAWA REZEKI

Di dalam Al Quran, anak disifatkan sebagai anugerah atau rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Bukan semua pasangan yang mengimpikan untuk mendapatkan anak berjaya. Allah telah memilih mereka yang tertentu sahaja jadi kita haruslah bersyukur ke hadrat Ilahi jika kita mempunyai anak kerana sesungguhnya kita tergolong dalam kalangan yang terpilih.

 Bersyukurlah Dengan Anugerah Yang Diberikan Oleh Allah

Dalam satu hadis yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w;

"Setiap manusia yang dilahirkan sudah ditentukan rezekinya dan tidak akan mati sehingga dia mendapat semua bahagian rezekinya dahulu."

Dalam konteks ini, ianya tidaklah bermaksud rezeki itu datang secara automatik dengan kelahiran anak, sebaliknya kita harus berusaha untuk mencarinya. Dalam usaha untuk mencari rezeki inilah segala jalan akan dipermudahkan oleh Allah.

Kami sendiri telah mengalami dan merasai rezeki yang dilimpahi oleh Allah sejurus kehadiran puteri kami yang pertama. Selepas isteri saya Sha melahirkan puteri kami Awliya Batrisya, saya telah dinaikkan pangkat tetapi yang sedihnya saya hanya diberi masa untuk bersamanya untuk 2 minggu kerana saya ditugaskan untuk ke Timur Tengah selama 2 minggu. Itu adalah rezeki pertama dan dalam masa yang sama disertakan dengan ujian. Ujian berjauhan dengan kekasih yang baru hadir dalam hidup saya tapi saya terimanya dengan Redha.

Genap usia Awliya Batrisya setahun, dia sudah mula berjalan dan dengan izin Allah, rezeki kami lebih murah dengan mempunyai rumah sendiri. Boleh di katakan rumah idaman. Hidup kami lebih selesa dengan rumah yang lebih besar dan tidak lagi perlu menyewa.

Pada tahun kedua pula, hadiah untuk Awliya Batrisya adalah sebuah kereta SUV idaman kami. Seterusnya pada tahun ketiga, saya dapat membeli motorsikal berkuasa tinggi yang saya inginkan. Walaupun semua yang terjadi adalah atas usaha untuk mendapatkan apa yang kami inginkan, tapi pada hakikatnya Allah telah mempermudahkan segala urusan dan semua yang berlaku berkait rapat dengan usia Awliya Batrisya di mana kami percaya itu adalah rezeki yang Allah berikan melalui kehadirannya dalam hidup kami.

Tahun keempat usia Awliya Batrisya, kami dianugerah satu lagi permata berharga dari Allah iaitu Malaikat Kecil Ateeya Delisha. Kehadiran kedua-dua puteri ini betul-betul membawa kebahagian dalam hidup kami.

 2 Malaikat Kecil Anugerah dari Allah kepada kami.


Ini adalah atas pengalaman kami sendiri yang mana membuatkan kami percaya bahawa Allah menganugerahkan anak itu sebagai pembawa rezeki kepada ibu bapa, terpulang kepada ibu bapa itu sendiri bagaimana untuk menerima dan mengolahnya.


ANAK MEMBERI KEBAHAGIAAN

Pasangan yang tidak mempunyai cahaya mata akan merasakan hidup mereka tersangat sunyi dan tidak lengkap. Tambahan pula apabila melihat ibu bapa lain yang gembira bermain dengan anak-anak mereka. Ini kerana kehadiran anak dengan gelak tawa dan karenah mereka yang comel dan lincah dapat menghilangkan segala keletihan dan kesunyian.

Dulu, sebelum mempunyai anak saya sering balik lewat dari kerja tapi selepas kehadiran Awliya Batrisya dan sehingga sekarang, saya tak tunggu lama untuk balik lepas saja habis waktu kerja. Sharp on the dot saya dah keluar office. 

Sebabnya tak sabar nak balik dan bermain dengan anak-anak. Segala keletihan saya hilang sebaik saja dapat menatap wajah kedua-dua puteri saya. Melihat mereka bermain dan ketawa, di tambah dengan keletah yang melucukan menghilangkan segala kekusutan di tempat kerja. Inilah kebahagian yang dirasai apabila mempunyai anak. 


ANAK DAN UJIAN

Anak yang dikurniakan oleh Allah juga memberi ujian kepada ibu bapa disamping membawa rezeki, kebahagian dan kebaikan. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak pastinya akan merasai ujian ini. Tapi ujian ini haruslah tidak diambil sebagai satu bentuk bebanan.

Ujian yang dimaksudkan adalah dalam membesarkan, menguruskan dan mendidik anak-anak. Sebagai ibu bapa, ujian yang paling besar dalam menghadapinya adalah KESABARAN.

Kita sering mendengar, " Sabar itu adalah sebahagian daripada Iman "

Jadi, ibu bapa yang kuat Imannya adal mereka yang berjaya mengatasi ujian-ujian ini dan berjaya mendidik anak-anak mereka dengan asuhan yang terbaik sehingga anak-anak tersebut menjadi insan yang soleh/solehah dan berjaya tetapi percayalah ianya bukan mudah.

Rasulullah s.a.w bersabda: (maksudnya);

"Setiap kelahiran (anak kecil)dilahirkan dalam keaddan fitrah." - Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Perumpamaannya di sini adalah, anak yang dilahirkan adalah ibarat seperti sehelai kain putih yang bersih yang suci dari sebarang dosa dan kesalahan. Adalah menjadi tugas ibu bapa itu sendiri bagaimana untuk mencoraknya menjadi sesuatu yang terbaik. Bukannya untuk dihina, dikeji dan diperlakukan tanpa belas kasihan. 

Sememangnya bukan satu tugas yang mudah dalam membesarkan dan mendidik anak-anak. Sejak dari anak baru dilahirkan, ibu bapa tidak dapat tidur dengan lena disebabkan oleh tangisan bayi yang kelaparan di tengah malam. Ibu bapa (selalunya ibu la..) terpaksa bersengkang mata demi anaknya. Alhamdulillah Awliya kurang karenah di tengah malam berbanding adiknya.

Apabila anak mula membesar, berjalan dan terutama sekali bermain, pastinya pada ketika ini banyak permainan yang dibelikan. Dan pada ketika inilah anak-anak suka menyepahkan barang-barang permainannya. Selain itu, bermacam-macam perkara yang nak dilakukannya. Pendek kata tak boleh nak duduk diam kecuali bila dah tidur.

Seronoknya apabila anak-anak dah pandai bercakap dan banyak bertanya. Anak jenis ini mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Awliya mula bercakap ketika berumur dua tahun dan tidak langsung mempunyai longat tidak penuh seperti anak-anak lain. Perkataannya terus boleh difahami dan petahnya Ya, Allah... Tak larat nak melayan. Semua benda nak ditanyanya dan tak kira siapa. 

Ujian yang paling mencabar dalam membesarkan anak-anak adalah menghadapi anak-anak yang degil. Yang tidak mendengar kata bahkan berani untuk melawan balik. Inilah tahap di mana kesabaran seseorang ibu bapa itu betul-betul terduga dan sebagai orang dewasa yang pastinya pemikiran kita lebih matang, kita haruslah menangani dengan cara yang bijak.

Tidak dinafikan banyak golongan ibu bapa yang tewas dalam menghadapi ujian ini dan akibatnya anak-anak menjadi mangsa pukulan, herdikan dan sebagainya.

" Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." [Al Anfaal:28]

Jadi didiklah anak-anak kita dengan cara yang terbaik dan penuh kasih sayang dalam mencorak hidupnya menjadi insan yang bermakna.


Kesimpulannya, anak adalah satu amanah, ujian dan anugerah yang sangat berharga kurnia dari Allah kepada hambanya. Mereka adalah amanah yang dipinjamkan kepada kita yang mana harus dipelihara, dijaga dan di didik dengan sebaik-baiknya termasuk memastikan keselamatannya di dunia mahupun di akhirat.

Berilah perhatian secukupnya agar mereka merasai kasih sayang untuk menjadi insan yang bertaqwa, berguna dan dapat berbakti pada agama, bangsa dan negara.

Wallahu 'Alam...

No comments:

Post a Comment