Search This Blog

Friday, 25 October 2013

DUGAAN MEMBESARKAN ANAK-ANAK


Sebagai ibu bapa, melihat proses perkembangan dan pembesaran anak-anak merupakan satu kepuasan. Pelbagai gelagat dan keletah dapat disaksikan sepanjang proses pembesaran mereka. Merekalah pengubat di kala rindu, merekalah penghibur di kala sunyi dan mereka jugalah dugaan yang mengajar kita dalam proses menjadi ibu bapa yang terbaik.

Ibu bapa memainkan peranan paling penting dalam mendidik anak-anak

Sedar atau tidak, perkembangan sikap anak-anak dipengaruhi oleh cara ibu bapa itu sendiri dalam mendidik anak-anak. Tidak dinafikan pengaruh dari luar juga memainkan peranan dalam pembentukan anak-anak tetapi ibu bapa itu sendirilah yang berperanan dalam mengawal pendedahan tersebut kepada mereka.

Ibu bapa sekarang terlampau sibuk dengan urusan kerja, mereka lebih selesa menyerahkan segala tugasan mendidik anak-anak kepada pihak ketiga seperti pusat jagaan kanak-kanak mahupun guru di tadika. Walaupun ini adalah satu pilihan yang terpaksa diambil disebabkan faktor masa yang terhad untuk dibahagikan antara anak-anak dan kerja, tugas utama dalam mendidik dan membentuk anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa itu sendiri. 

Dalam pemerhatian saya berdasarkan pengalaman bersama dan membesarkan anak-anak, perubahan ketara pada sikap mereka adalah apabila mereka berada di sekeliling ataupun bersama kita. Ini kerana pada waktu inilah mereka mahukan perhatian daripada kita. Cara kita dalam memberikan perhatian dan berkomukasi dengan mereka inilah yang akan membentuk sikap dalam diri mereka.


Saya dan isteri, Sha bersyukur kami dikurniakan dua malaikat kecil dalam hidup kami sebagai penyeri. Awliya Batrisya kini berusia 5 tahun manakala adiknya Ateeya Delisha kini 1 tahun 8 bulan. Apa yang saya nak kongsikan di sini adalah pengalaman kami dan dugaan yang di hadapi dalam proses melihat anak kami membesar. Saya percaya ibu bapa lain juga melalui proses yang sama seperti mana kami alami. Perkongsian ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan memperingati sesama kita tentang apa yang patut kita lakukan dan elakkan dalam membesarkan anak-anak di samping tips-tips penting yang patut kita amalkan dalam mendidik malaikat kecil kita.

 Apakah perkara yang paling mencabar dalam membesarkan anak-anak?

Bagi saya sikap KEDEGILAN anak-anak adalah cabaran yang paling besar kami hadapi. Ia betul-betul mengugat tahap kesabaran yang ada. Jika kita lemah dalam menghadapinya, kita pasti akan tertewas dengan godaan syaitan.

Sabar adalah sebahagian daripada Iman dan disebabkan inilah Syaitan akan mencuba sedaya boleh untuk meruntuhkannya. Akibatnya, anak-anaklah yang akan menjadi mangsa.

Tetapi jika kita fikir dari sudut positif, kedegilan anak ini adalah satu ujian yang Allah turunkan dalam membentuk peribadi diri. Jika cantik pembentukkan dalam diri kita maka cantiklah apa yang kita corakkan pada anak-anak kita kerana sikap anak-anak itu sendiri adalah cermin yang memaparkan keperibadian kita.


Anak sulung kami Awliya Batrisya lebih suka bermain sendirian daripada bermain dengan adiknya Ateeya. Mungkin faktor jarak usia membuatkannya merasa kurang selesa untuk bermain dengan adiknya yang dirasakan tidak sebaya. Sekiranya dia bermain dengan kawan-kawannya pun, tumpuan langsung tidak diberikan kepada adiknya. Tetapi ada waktu dan ketika mereka akan bermain bersama-sama tapi selalunya akan berakhir dengan pertengkaran dalam merebut sesuatu barang.

Apa yang kami lihat, Awliya sudah mula mempunyai identiti sendiri. Dia lebih suka melakukan perkara yang dia suka tanpa gangguan dan sukar menerima teguran ataupun arahan terutamanya apabila dia sedang khusyuk melakukan sesuatu. Apabila dia mahukan sesuatu, dia akan pastikan apa yang dimintanya dapat ataupun dipenuhi, jika tidak dia akan memberontak. Apabila disuruh melakukan sesuatu, dia tidak akan memberi respond bak kata orang buat 'dono'. Tetapi di sebalik kekerasan itu, apabila 'diugut' atau diacah, dia akan mudah menangis. Dia lebih manja daripada adiknya. Itu yang membuatkan saya lebih suka mengacaunya. Dan satu lagi, apabila kita berjanji dengannya, dia akan pastikan kita mengotakannya jika tidak dia akan sentiasa memperingati kita. Letih dibuatnya.

Sikapnya yang degil betul-betul menguji kesabaran saya sehinggakan satu tahap saya terpaksa menggunakan kekerasan dengan merotannya. Tapi apabila difikirkan, sebenarnya cara kekerasan akan membuatkan keadaan menjadi lebih buruk. Ia akan membuatkan anak-anak lebih memberontak. Apa yang mereka buat sebenarnya adalah untuk mendapat perhatian daripada kita sebagai ibu bapa. Mereka mahu dimanja dan dibelai. 

Kekerasan akan membuatkan anak lebih memberontak

Kita sebagai orang dewasa perlu berfikir secara rasional sebelum mengambil sesuatu tindakan dan kini saya sedar cara kekerasan bukanlah cara yang terbaik untuk mendidik anak bahkan ia tidak akan memberi kesan yang kita harapkan. Sebaliknya ia akan meninggalkan kesan negatif di dalam diri anak itu sendiri di mana dia tidak akan patuh pada kita dan yang lebih teruk lagi dia akan takut untuk mendekati kita. Sebagai ibu bapa, bukan itu yang kita mahukan.


Jadi, apa yang patut kita buat sekiranya menghadapi situasi seperti anak tidak mahu dengar cakap/arahan, tidak mahu buat apa yang di suruh, memberontak atau dalam erti kata lainnya DEGIL. Pertama sekali kita mesti tahu kenapa mereka bersikap sedemikian.

Pada usia ini, anak-anak akan menunjukkan ketegasannya. Dia mahu kita faham yang di tidak suka di arah. Dia akan buat sekiranya dia suka. Jadi sebagai ibu bapa, kita mesti pandai menggunakan pendekatan psikologi bukannya kekerasan.


Fahami anak-anak
Sekiranya anak-anak tidak mendengar apa yang disuruh atau diarah, menggunakan kekerasan atau paksaan hanya akan membuatkan anak itu menangis dan lebih memberontak. Sekiranya dia sedang khusyuk melakukan sesuatu, pergi dekat padanya, pujuk dan beritahu dengan lembut. Terangkan kenapa dia perlu lakukan apa yang disuruh.  

Had dan kawal aktiviti
Biarkan mereka lakukan apa yang mereka suka tapi pastikan ia dalam kawalan. Ini lebih baik daripada menghalang. Buat mereka faham kenapa mereka perlu mematuhi had yang ditetapkan.

Perhatian yang diberikan membuatkan mereka rasa dekat dengan kita

Beri perhatian dan pujian.
Sentiasa luangkan masa untuk mendengar dan melihat apa yang mereka ingin sampaikan atau tunjukkan. Anak-anak mahu diberi perhatian bagi merasakan diri mereka disayangi. Puji mereka pada setiap masa, ini akan membuatkan mereka gembira dan berada dalam 'mood' yang baik. Apabila berada dalam 'mood' yang baik, mereka lebih mudah untuk patuh.

Jadi 'role model' kepada mereka
Jangan sesekali menunjukkan sikap yang tidak baik di depan mereka kerana pada usia sebegitu mereka akan mudah meniru apa yang kita lakukan. Tunjuk amalan yang baik di hadapan mereka contohnya solat. Ini akan menjadi satu pendidikan yang tidak langsung. Lama-kelamaan mereka akan turut untuk solat bersama kita.

Gunakan pendekatan yang lembut dalam menegur anak-anak. Kekerasan tidak akan memberi kesan yang kita harapkan.

Bertenang apabila marah
Jangan menegur anak dalam keadaan marah. Ini akan lebih mengeruhkan keadaan. Apabila dalam keadaan marah, jauhkan diri sebentar daripadanya dan kembali untuk memujuk atau menasihat apabila sudah tenang. Anak-anak akan lebih merasa hormat dengan cara ini. 

Beri peluang membuat pilihan
Anak-anak akan berasa selesa apabila mendapat apa yang dipilih. Sekiranya pilihan mereka tidak kena pada waktunya, cuba alihkan perhatian mereka dengan pilihan lain yang dirasakan lebih baik. Ini dapat mengajar mereka dalam membuat pemilihan yang baik dalam waktu yang tepat dan bersesuaian.


Luangkan lebih masa
Masa yang berkualiti diberikan kepada anak-anak akan membuatkan mereka berasa lebih dekat dengan kita dan membuatkan mereka rasa selamat. Selalulah rancang aktiviti yang berfaedah untuk diluangkan bersama mereka.


Apa yang dikongsikan di sini bukanlah 100% cara terbaik dan berkesan. Semuanya bergantung kepada cara ibu bapa itu sendiri dalam mengolahnya bersesuaian dengan sikap anak-anak. Apa-apa pun, kita yang lebih dewasa mempunyai pemikiran yang lebih matang dalam membuat keputusan. Jika kita menunjukkan satu pendekatan yang positif, perubahan ke arah kebaikkan itu akan timbul dengan sendirinya di dalam diri mereka.

Di harap perkongsian ini sedikit sebanyak memberi manfaat dan menambah nilai dalam hidup kita untuk membentuk anak-anak kita menjadi insan yang lebih baik dan kita impikan.

Wallahu 'Alam...

Sekiranya anda rasa entri ini memberi anda manfaat dan mampu membantu orang lain, di harap tidak keberatan untuk "LIKE" dan "SHARE" entri ini.

Pastinya Syaitan akan berbisik;

" Sudahlaaahhhh.... Tak payah SHARE lah. Tak penting pun. BUANG MASA saja, tak mungkin orang lain nak layan..."

Sekecil apapun amal ibadah, Allah s.w.t menghargai puluhan kali ganda..

Rasulullah sendiri pun sentiasa berpesan kepada umatnya,

"Sampaikanlah walaupun satu ayat.."

Semoga perkongsian kita menjadi satu saham yang dapat membantu kita di akhirat kelak. Insha Allah...

No comments:

Post a Comment