Search This Blog

Wednesday, 16 October 2013

JALAN-JALAN, HIBURKAN ANAK-ANAK

Assalamualaikum w.b.t

Ada soalan yang saya nak tanya?

"Bilakah kali terakhir anda menaiki 'train'(keretapi)?"

Tak kisahlah apa jenis train.LRT, KTM, Monorail... Tapi soalan ni bukan untuk anda yang memang hari-hari naik train pergi balik kerja sebab itu memang dah jadi rutin harian anda.

Soalan seterusnya, "Pernahkah anak anda naik train yang ada di Malaysia?"

Kalau anak yang dah besar tu, yang selalu keluar dating dengan pakwe/makwe, biasa la kalau naik train.

Ini agak nostalgic bagi saya. Seingat saya kali terakhir saya naik train adalah pada tahun 2004. Itu pun waktu 'study' di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak. Waktu tu masih belum kahwin jadi train tu dah jadi macam kenderaan utama bila keluar berdating.

Tahukah anda di Malaysia terdapat 6 jenis train;
1. Putra LRT
2. KTMB
3. Star LRT
4. KL Monorail
5. Putrajaya Monorail
6. Express Rail Link (ERL)

Antara jenis 'train' yang terdapat di Malaysia

Saya tinggal di Sungai Buloh, berdekatan dengan stesyen KTM Sungai Buloh jadi kerap kali akan ternampak train KTM yang lalu di situ. Anak-anak saya yang masih kecil selalulah teruja setiap kali melihat train yang lalu dan sentiasa bertanya,

"Ayah, Ibu.. Bila kita nak naik train?"

Itulah soalan yang selalu keluar setiap kali melihat train. Saya dan wife, Sha pula hanya mengenang kembali nostalgia lama. Dah lama kami tak naik train sejak ada kenderaan sendiri. Kesian anak-anak tak pernah merasa. Nak di bawa untuk cuba naik pun seperti tak ada keperluan dan tak tahu ke mana nak pergi dengan menaiki train. Kami memang jenis yang tak akan masuk KL sekiranya tak ada urusan penting. Malas nak menempuh kesesakan dan kesukaran mencari 'parking'. Kalau nak naik train pun rasa malas nak berjalan jauh-jauh.

Perkara ini berlanjutan sehinggalah baru-baru ini soalan ini makin rancak di tanya oleh anak saya. Merasakan kasihan dan perlu untuk kami 'expose' anak-anak kami dengan kemudahan dan kemajuan yang ada di Malaysia, kami pun merancang untuk membawa mereka mencuba untuk menaiki train tersebut.

Kebetulan, sehari sebelum Raya Haji baru-baru ini, saya berpeluang untuk pulang kerja lebih awal jadi saya pun menghubungi Sha lalu merancang untuk membawa anak-anak keluar berjalan-jalan menaiki train. Ke mana lokasi masih belum di fikirkan.

Setibanya saya di rumah, anak-anak dan Sha sudah siap sedia, hanya perlu memikirkan ke manakah tujuan kami. Akhirnya kami membuat keputusan untuk ke Mid Valley kerana perjalanan yang mudah dengan KTM Komuter.

Kami terus keluar berkereta ke stesyen KTM. Disebabkan stesyen Sungai Buloh dalam proses naik taraf dan projek MRT yang terbaru, jadi kami terus ke stesyen yang berikutnya iaitu Kepong Sentral. Hanya 15 minit perjalanan dari rumah dan lebih mudah untuk 'parking' kereta.

Sampai di sana kami terus membeli tiket. Untuk memudahkan urusan, kami membeli terus tiket untuk 2 arah perjalanan, pergi dan balik. Harga tiket dari Kepong Sentral ke Mid Valley untuk 2 arah adalah RM 3.20 untuk dewasa dan RM 1.60 untuk kanak-kanak.

Menunggu ketibaan KTM Komuter. Seronok bukan main

Perasaan lain macam. Tak macam naik kereta. Ramai orang di sekeliling


Perjalanan dari Kepong Sentral ke Mid Valley mengambil masa lebih kurang 40 minit. Harus melalui 5 stesyen untuk sampai ke sana.

Laluan KTM Komuter dan stesyen-stesyen yang harus di lalui.

Sampai di sana apa lagi. Jalan-jalan je la. Tujuan sebenar untuk bawa anak-anak merasai naik train dah tercapai. Selebihnya hanya berjalan-jalan buang masa aje la. Dalam tengah menghabiskan masa tu, ternampaklah Fun Park untuk kanak-kanak. Anak-anak kecil mana yang akan duduk senyap bila nampak Fun Park. Memang dah tak ada apa yang nak di buat, tujuan utama pun memang nak menghiburkan anak-anak, jadi singgahlah sebentar untuk diorang berseronok.

 Kudaku lari gagah berani. Ehh... Kenapa pusing-pusing aja.

Dah besar nanti, dah banyak duit beli kereta Ferrari, bolehlah bawak Ibu dan Ayah jalan-jalan pulak.

 Isi minyak dulu...

 Tak puas main kat Fun Park, sambung pulak main kat luar. Nasib syiling ada ngam-ngam ja.


MegaKidz tak sempat nak masuk sebab tak ada rancangan awal. Mungkin lain kali. Tapi harganya agak mahal. Untuk ibu bapa yang nak enjoy shopping tanpa gangguan anak-anak, boleh tinggalkan anak-anak di sini. Ia adalah "Day-Care".

Tapi harga untuk "Drop & Shop", maksudnya tinggal anak dan enjoy shopping adalah, jeng..jeng..jeng...

Kadar Bayaran Mengikut Jam
  • 4 tahun dan ke atas
    RM 40.00 seorang setiap jam
  • 15 bulan hingga 3 tahun
    RM 50.00 seorang setiap jam
  • 2 bulan hingga 14 bulan (Infant)
    RM 60.00 seorang setiap jam
Sanggup ke Jah??
Dah puas berjalan dan bermain, kami pun bergerak balik. Lebih kurang dalam pukul 5 petang. Kena gerak cepat, takut bersesak dengan orang balik kerja nanti.


Rasulullah s.a.w menghiburkan Anak Kecil yang Kematian Bapanya dalam Peperangan.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari raya, Rasulullah s.a.w keluar rumah untuk menunaikan solat AidilFitri. Di tengah jalan, baginda melihat ramai anak-anak kecil sedang bermain dengan penuh gembira sambil ketawa. Mereka mengenakan baju baru, kasut mereka pun nampak berkilat. Tiba-tiba pandangan Baginda tertumpu pada salah seorang anak kecil yang sedang duduk menyendiri dan sedang menangis tersedu-sedu. Bajunya compang camping dan kakinya tidak berkasut. Rasulullah s.a.w pun mendekatinya, lalu di usap-usapnya kepala anak kecil itu sambil mendakapnya ke dada Baginda seraya bertanya,

"Mengapa engkau menangis, Nak?"

Anak kecil itu hanya menjawab, "Biarlah aku bersendirian." Anak itu belum tahu lagi bahawa orang yang berada di hadapannya itu adalah Rasulullah s.a.w yang terkenal dengan sifat pengasih. Maka anak kecil itu pun berkata,

"Ayahku mati dalam suatu peperangan bersama Rasulullah." Sambung anak kecil itu, "Lalu ibuku kahwin lagi. Seluruh hartaku diambil oleh suami ibuku itu, lalu aku di halau keluar dari rumahnya. Sekarang aku tidak mempunyai baju baru dan makanan untuk dimakan. Aku sedih melihat kawan-kawanku bermain dengan riang dan gembira itu."

Maka Rasulullah s.a.w lantas membimbing anak kecil tersebut seraya MENGHIBURKANNYA, "Sukakah kamu bila aku menjadi bapakmu, Fatimah menjadi kakakmu, Aisyah menjadi ibumu, Ali sebagai saudaramu, Hassan dan Hussain menjadi anak saudaramu?"

Dengan itu, anak itu segera mengetahui dengan siapa dia bercakap. Maka langsung dia berkata, "Mengapa pula aku tidak suka, ya Rasulullah." Kemudian, Rasulullah s.a.w pun membawa anak kecil itu ke rumah baginda dan memberinya pakaian yang paling cantik, memandikannya dan menghiaskan diri anak kecil itu agar dia nampak lebih bergaya, lalu mengajaknya makan.

Sesudah itu, anak kecil itu pun keluar bermain dengan kawan-kawannya yang lain sambil berketawa-ketawa dan keriangan. Melihat akan perubahan pada anak kecil itu, kawan-kawannya merasa hairan lalu bertanya, "Tadi kamu menangis, mengapa kamu sekarang gembira?"

Jawab anak kecil itu, "Tadi aku kelaparan, sekarang aku sudah kenyang. Tadi aku tidak mempunyai pakaian, sekarang aku sudah ada pakaian. Tadi aku tidak mempunyai bapa, sekarang bapaku Rasulullah dan ibuku Aisyah."

Anak-anak kecil yang lain berbisik, "Wah, andaikan bapa kita mati dalam peperangan pada hari-hari berikutnya, anak kecil itu tetap dipelihara oleh Rasulullah s.a.w sehingga baginda wafat."

Allah, Allah, Allah...

Lihatlah dalam kisah ini bagaimana baginda Rasulullah sendiri melakukan bermacam-macam perkara bagi menghiburkan seorang anak kecil yang kematian bapanya. Yang bukan anaknya pun.

Kita patut bersyukur kerana masih diberi masa bersama anak-anak, masih punya peluang bermain dengan mereka. Mereka masih boleh bermanja-manja dengan kita. Betapa berharganya masa itu dan betapa bertuahnya kita dan anak-anak kita jika nak dibanding dengan anak-anak yatim mahupun ibu bapa yang kematian anaknya.

Jadi, manfaatkanlah masa itu dengan sebaiknya. Luangkan lebih masa yang berkualiti bersama mereka dalam mendidik dan mencurahkan kasih sayang. Jangan terlalu sibuk mengejar kemewahan sedangkan anak-anak dan keluarga terabai. Marilah kita sama-sama muhasabah dan mengingati diri kita untuk sentiasa membahagiakan orang-orang di sekeliling kita.

Wallahu 'Alam


  Malaikat Kecil kami;
Awliya Batrisya - 5 tahun
Ateeya Delisha - 1 tahun 8 bulan

No comments:

Post a Comment