Search This Blog

Wednesday, 2 October 2013

JUMAAT : PENGHULU SEGALA HARI & KEISTIMEWAANNYA

Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi, hari ini sekali lagi kita diberikan rahmat oleh Maha Pencipta untuk bernafas di muka bumiNya dan masih lagi di beri peluang untuk bertemu dengan penghulu segala hari yakni hari Jumaat. Entri saya kali ini bukan untuk berceramah atau memberi tazkirah tapi sekadar untuk berkongsi akan kebesaran hari Jumaat yang mana mungkin ada di kalangan kita yang sudah tahu dan juga yang masih belum tahu. Bagi golongan yang sudah tahu akan kebesaran hari Jumaat, mohon di kongsikan sesama kita dan bagi yang masih belum tahu, di harapkan entri kali ini dapat membuka pandangan dan menambahkan ilmu di dada bagi saling ingat mengingati di antara satu sama lain.


Dari Abu Lubanah bin Abdul Munzir, Rasulullah SAW telah bersabda ; 

"Sesungguhnya hari Jumaat itu penghulu segala hari, semulia hari di sisi Allah dari Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Pada hari Jumaat itu terdapat 5 perkara ; Allah telah menciptakan Adam, Adam diturunkan ke dunia, Adam dimatikan, padanya (Jumaat) terdapat satu ketika (masa)  dimana tiada siapapun yang meminta kepada Allah, Allah pasti menunaikan permintaannya selagi dia tidak meminta perkara haram, padanya (Jumaat) terjadinya hari Kiamat. Tidak ada malaikat Muqarrab, malaikat menjaga langit, malaikat menjaga dunia, malaikat menjaga angin, malaikat menjaga gunung, malaikat menjaga laut, melainkan semuanya merasa kasih pada hari Jumaat."

Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah.


Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:

"Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani."

Terdapat banyak lagi hadis yang menceritakan tentang kebesaran dan kemuliaan hari Jumaat jika nak dikongsikan di sini tapi cukuplah sekadar apa yang saya kongsikan di atas untuk menekankan akan keistimewaannya.


KEISTIMEWAAN DAN KEUTAMAAN HARI JUMAAT


HARI PALING MULIA  
  • beberapa peristiwa penting yang terjadi pada hari Jumaat antaranya pada hari inilah Allah s.w.t telah mencipta Nabi Adam Alaihissalam dan hari ini jugalah Nabi Adam di masukkan ke dalam Syurga. Nabi Adam juga diturunkan dari syurga ke bumi pada hari Jumaat yang mana akhirnya Nabi Adam juga telah wafat pada hari Jumaat.
  • Allah juga telah menetapkan bahawasanya pada hari Jumaat jugalah akan berlakunya hari Qiamat  

HARI BAGI KAUM MUSLIMIN 

  • pada hari inilah dapat di lihat kaum muslimin yang sentiasa sibuk dengan urusan masing-masing berkumpul di dalam kelompok yang besar, berhimpun di dalam masjid bagi sama-sama mengerjakan ibadah solat yang mana sebelum itu di dahulukan dengan dua khutbah Jumaat yang mengandungi wasiat bertaqwa, nasihat, peringatan serta doa. Perkara ini tidak akan dapat di lihat pada hari lain.


PENGHULU SEGALA HARI 
  • dalam satu hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah " Jumaat dinamakan sebagai 'Saidul Aiyam" iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari)
  • Ini adalah hari yang sangat istimewa dan disebabkan pada hari ini, ganjaran yang diberikan adalah berlipat ganda kepada yang beramal, maka ia diletakkan sebagai ketua segala hari.

HARI KEBESARAN MINGGUAN
  • dalam 7 hari yang terdapat di dalam seminggu, di dalam Islam hari Jumaat adalah dianggap sebagai "Hari Besar". Lain pula kita yang memulakan minggu dengan hari Isnin (Ahad di sesetengah negeri)

HARI PERHIMPUNAN BAGI SOLAT JUMAAT



  • seperti yang dijelaskan di atas tadi di mana pada hari inilah umat muslimin akan berkumpul untuk bersama-sama mengerjakan ibadah solat di mana hanya pada hari ini solat Jumaat dua rakaat difardhukan ke atas Muslimin bagi menggantikan solat Zohor. Ini menunjukkan Jumaat adalah semulia hari yang mana umat Islam digalakkan untuk memanfaatkannya sebaik mungkin bagi mendapatkan ganjaran Allah s.w.t yang berlipat ganda.
 
HARI RAMAI MALAIKAT TURUN KE BUMI

  • pada Hari Besar inilah Allah akan mengutuskan ramai para malaikat untuk turun ke muka bumi bersama tinta kalam emas di tangan mereka beserta kertas-kertas dari perak. Malaikat-malaikat ini akan berdiri dan menunggu di pintu-pintu masjid bagi mencatat nama-nama mereka yang hadir ke masjid untuk mendirikan solat Jumaat. Apabila sudah sempurna dan selesai solat Jumaat, malaikat-malaikat ini akan kembali ke araysh untuk mempersembahkan hasil catatan mereka kepada Allah s.w.t.
  • Atas sebab inilah kita sentiasa diperingatkan dan dinasihatkan untuk menjaga adab-adab ketika berada di dalam masjid dan digalakkan untuk banyak beramal kerana setiap amalan yang kita lakukan akan diperhati dan dicatat oleh malaikat-malaikat yang berada di dalam masjid pada hari tersebut.
 
HARI MUSTAJAB BERDOA


http://static.republika.co.id/uploads/images/detailnews/orang-berdoa-ilustrasi-_120726140111-119.jpg


Rasulullah s.a.w bersabda;
   "Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah s.w.t akan sesuatu kebaikan, melainkan Allah s.w.t memakbulkan doanya atau ia meminta Allah s.w.t melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya dari kejahatan." - Hadis riwayat Tarmizi.
  •    terdapat dua waktu yang terbaik dan mustajab untuk berdoa pada hari Jumaat iaitu;
  1. dari masa Imam duduk di atas mimbar sehingga solat Jumaat selesai.
  2. ketika mana akhirnya waktu Asar 
Ini menunjukkan Allah telah memberikan satu waktu mustajab yang panjang untuk umatnya meminta atau berdoa kepadaNya yang mana ia hanya diberikan hanya pada hari Jumaat.


HARI DIHAPUSKAN DOSA
  • bila mana catatan yang dibuat oleh para malaikat dipersembakan kepada Allah dan berkata; " Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk ke masjid dan menunaikan Jumaat", maka Allah s.w.t pun berfirman, " Wahai MalaikatKu, demi kemulian dan kebesaranKu, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikitpun."
  • Allahu Akbar, Maha Pemurah lagi Maha Pengampun, semudah menghadirkan diri ke masjid dan menunaikan solat Jumaat, segala dosa-dosa kita telah diampunkan.Bukan itu saja, Rasulullah juga ada meriwatkan bahawa diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya.
 
HARI LEBIH UTAMA BERSEDEKAH


http://wardahusna.files.wordpress.com/2011/08/sedekah1.jpg
  • tentang ini pernah timbul persoalan dalam hati saya. Apabila kita ke masjid untuk menuanikan solat Jumaat akan terdapat banyak tabung-tabung derma seperti tabung masjid, derma anak yatim, derma bina masjid, derma maahad tahfiz, derma mangsa bencana dan sebagainya. Jadi, yang manakah patut kita dahulukan, adakah beza darjatnya dan jikalau ada manakah yang paling tinggi darjatnya dan patut didahulukan. 
  • Untuk mendapatkan kepastian dan penjelasan, saya telah merujuk perkara ini kepada sahabat saya yang juga seorang Ustaz, menurutnya semuanya sama sahaja. Yang penting niat kita dalam memberi. Kalau boleh, dari menderma ke dalam satu tabung, kita agih-agihkan. Jadi inilah yang saya amalkan sekarang dan harap menjadi ikutan. Dan saya juga harap penjelasan di atas memberi manfaat kepada anda yang membaca.
  • Ibnu Khayyim berkata: "Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama disedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya."

HARI MERAIH PAHALA
  • Orang yang hadir dan menunaikan kewajibannya untuk solat Jumaat akan mendapat pahala untuk setiap langkahnya ke Masjid, setara dengan pahala ibadah satu tahun solat dan puasa.
  • Aus bin Aus berkata: Rasulullah s.w.t bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan menempati shaf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi Allah.” (HR. Ahmad dan Ashabus Sunan, Didakwa sahih oleh Ibnu Huzaimah).
 
HARI HIDAYAH DARI ALLAH

 
  • keistimewaan dan hidayah hari Jumaat hanya diberikan oleh Allah s.w.t kepada umat Islam dan ianya tidak diberikan kepada umat-umat lain sebelumya.
  • Hadis Riwayat Muslim r.a, dari Hudzaifah Radhiyallahu'anhu dengan lafaz"
    “Allah telah menyesatkan orang-orang sebelum kita dari hari Jumaat, maka umat Yahudi memperoleh hari Sabtu, umat Nasrani memperoleh hari Ahad. Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi kita hidayah untuk memperoleh hari Jumaat. Maka Allah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan mereka (umat sebelum kita) berada di belakang kita pada hari kiamat. Kita datang paling akhir di dunia, tetapi paling awal datang di hari kiamat yang telah ditetapkan untuk mereka sebelum diciptakan seluruh makhluk.”

 MENINGGAL PADA HARI JUMAAT SEBAGAI TANDA "HUSNUL KHATIMAH" DAN TERSELAMAT DARI SEKSAAN KUBUR



  • Meninggal dunia pada malam hari Jumaat atau siangnya adalah penanda ‘Husnul Khatimah’, iaitu dibebaskan dari fitnah (azab) kubur.
  • Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:“Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur.” (HR. Ahmad dan Tirmizi, undian sahih oleh Al-Bani). 

 HARI BERLAKUNYA QIAMAT 
  • Allah telah menetapkan bahawasanya pada hari Jumaatlah akan berlakunya Qiamat.
  • Dalam suatu hadis, Rasulullah ada menyebut bahawa:“Pada hari Jumaat juga Qiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
 HARI DAPAT MELIHAT ALLAH DI SYURGA

  • Kemuncak pada hari Jumaat adalah di mana pada hari ini jugalah Allah s.w.t akan menampakkan diriNya kepada hambaNya yang beriman di syurga nanti. 

Cukup setakat sini dahulu perkongsian saya mengenai hari Jumaat dan keistimewaannya. Di harap entri ini dapat menjadi pendorong untuk pembaca lebih sedar akan kekurangan yang ada pada diri kita dan memanfaatkan hidup ini dan khususnya pada hari Jumaat dalam mencari keredhaan dan tempat yang tebaik di sisi Allah.

Untuk Jumaat akan datang, Insha Allah saya akan kongsikan lebih lagi perkara yang berkaitan dengan Penghulu Segala Hari, Hari Besar yakni Hari Jumaat. Wallahu 'alam. 

Jika anda rasa perkongsian dan maklumat di atas mungkin memberi manfaat anda dan juga kepada orang lain mohon untuk anda boleh "SHARE" dengan menekan LIKE button di bawah ini. Perkongsian itu satu ibadah dan Rasullullah sendiri menyeru umatnya supaya sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain.

 

No comments:

Post a Comment