Search This Blog

Thursday 21 November 2013

JUMAAT : KELEBIHAN SAF HADAPAN

Assalamualaikum w.b.t...

"APA YANG KITA FIKIR,
 APA YANG KITA RASA,
 APA YANG KITA CAKAP,
 APA YANG KITA BUAT,
 SEMUANYA ADALAH DOA"

Salah satu keistimewaan hari Jumaat adalah di mana pada hari yang mulia ini Allah akan memakbulkan doa-doa yang dipohon oleh umat-Nya.

Alhamdulillah, salah satu doa saya hari ini dimakbulkan. Sebelum melangkah nak ke masjid untuk sembahyang Jumaat tadi saya berniat nak duduk di saf paling depan. Alhamdulillah niat saya tercapai. Allah permudahkannya untuk saya. Sampai saja di masjid seperti ada satu lorong yang dibuka kepada saya untuk terus ke depan tapi tak lah terus ke saf pertama. 

Menjelang waktu solat, dibukakan lagi lorong kepada saya untuk terus ke hadapan sehingga saf yang kedua. Walaupun tak dapat nak terus ke saf pertama, tapi saya bersyukur sangat. Insha Allah, mungkin minggu depan saya dapat bersolat di saf pertama pulak.



Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesungguhnya jika manusia mengetahui kelebihan yang tersirat di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak dapat memperolehinya melainkan dengan melakukan undian nescaya mereka akan melakukanya…. (biarpun mereka terpaksa bertungkus lumus kerananya).”
Riwayat Bukhari. (Sahih al Bukhari (jil.2, hlm.96, no.615))
 

Daripada Ubai bin Kaab r.a, katanya:Rasulullah SAW telah bersabda: 

"Sesungguhnya saf pertama solat berjamaah bandingannya adalah seperti saf para malaikat. Justeru itu, jika kamu mengetahui tentang kelebihan tersirat di sebalik saf yang pertama nescaya kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya.”

Riwayat Abu Daud. (Sunan Abi Daud (Jil.2, hlm. 259-260, no.550))

 

Masih ramai dikalangan kita yang tidak tahu akan kelebihan bersolat di saf pertama dan disebabkan itulah jika dilihat ramai yang tidak mahu melangkah ke hadapan bila ada ruang kosong di saf hadapan dan juga tidak datang awal ke masjid.

Sekiranya mereka benar-benar tahu akan kelebihannya, pasti ramai yang akan berlumba-lumba untuk pergi ke masjid dengan awal dan bersolat di saf yang paling depan.
 

KELEBIHAN SAF PERTAMA

1. Allah SWT dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Jemaah saf pertama
 
Daripada Abu Umamah r.a, katanya : Rasulullah SAW telah bersabda:

"Sesungguhnya Allah Taala dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas para Jemaah yang berada di dalam saf pertama solat berjamaah. 

Sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah dengan saf yang kedua?’ 

Jawab Rasulullah: ‘Sesungguhnya Allah Taala dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas saf pertama. 

Sahabat bertanya lagi: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah dengan saf yang kedua?’ 

Lalu Rasulullah menjawab: ‘Ya, begitu juga dengan saf yang kedua.”

Riwayat Ahmad bin Hambal (Al Fath al-Rabbani li Tartib Musnad al Imam Ahmad bin Hambal (Jld.5, hlm. 320, no. 1480))


2. Rasulullah SAW berselawat ke atas Jemaah saf pertama dan kedua
 
Daripada al-‘Irbat bin Sariah r.a bahawa Rasulullah SAW telah berselawat ke atas para Jemaah yang berada di dalam saf pertama sebanyak tiga kali, sementara ke atas saf yang kedua hanya sekali.” 

Riwayat an-Nasai ( Sunan an-Nasai (Jil. 2 hlm. 92-93). Menurut Syeikh al Arna’ut, hadis ini sanadnya sahih atas syarat muslim)



Terdapat satu kisah bagaimana Nabi SAW mendidik sahabat dalam mengerjakan solat berjemaah. Daripada Sa'ed Al-Khudry R.A. bahawa Rasulullah SAW mendapati ada di kalangan sahabatnya melambat-lambatkan diri mereka untuk menyertai saf pertama, lantas Baginda SAW mengingatkan mereka:

"Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka."

-Hadis riwayat Muslim-


Dalam sebuah hadis yang lain pula, Nabi SAW ada mengatakan: 

"Hadirilah solat Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya."

-Hadis riwayat Imam Ahmad-  

Allahu Akbar...

Begitu besar kehebatan dan keistimewaan bersolat di saf pertama ni terutamanya pada solat Jumaat. Amat rugi jika kita tidak mengendahkannya.

Marilah kita sama-sama mengambil setiap pesanan yang disampaikan oleh Nabi SAW sebagai pedoman supaya kita tidak ketinggalan dan membiarkankan diri kita memilih saf belakang untuk bersolat di masjid lebih-lebih lagi pada solat Jumaat. Jangan biarkan diri kita berasa selesa dan seronok bersolat di saf belakang, sebaliknya mulalah memilih dan segera mara ke saf paling depan dan hampir dengan imam kerana sekarang kita sudah tahu akan kelebihannya. 

Semoga kita mendapat shafaat dan ganjaran yang besar di sisi Allah.

Wallahu A'lam...