Search This Blog

Wednesday 6 November 2013

BALIK KAMPUNG : PART 1

Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, bertemu lagi di entri kali ini. Rasa macam dah lama tak pos entri baru. Lama bercuti di kampung jadi tak sempat nak menulis. Aktiviti di kampung pun agak penuh, beri tumpuan menghabiskan masa dengan keluarga jadi tak sempat nak berkongsi.

Dah agak lama kami sekeluarga tak balik kampung. Kali terakhir pun pada Hari Raya Aidilfitri. Lepas daripada tu tak berkesempatan nak balik termasuk pada Hari Raya Korban baru-baru ni. Memandangkan minggu lepas ada cuti Deepavali lepas tu disambung pula dengan Awal Muharram, Alhamdulillah peluang ini kami ambil untuk balik ke kampung. Ada beberapa urusan dan majlis yang perlu di hadiri juga menjadi asbab lain untuk balik. Kebetulan seorang adik saya dan adik ipar pun nak ikut balik sekali.

Selepas semua barang dah disiapkan dan dimasukkan ke dalam kereta, kami pun terus bergerak dari Sungai Buloh. Lebih kurang dalam jam 8 malam. Macam biasalah, minyak dah siap di isi, Touch n Go pun dah di tambah nilai, terus masuk ke lebuh raya lah.

Perjalanan agak lancar di lebuh raya menghala ke utara. Kenderaan pun tak lah banyak sangat cuma ada di kawasan-kawasan tertentu trafik agak perlahan terutamanya di kawasan berbukit. Kenderaan agak perlahan untuk mendaki lebih-lebih lagi kenderaan berat.

Jarak perjalanan dari Sungai Buloh ke Sungai Petani adalah lebih kurang 360km. Tepat jam 12 malam/pagi kami tiba di tol keluar Sungai Petani Selatan. Alhamdulillah perjalanan kami dilindungi-Nya dan kami tiba dengan selamat. Destinasi bermalam yang pertama adalah rumah saya, kerana kami nak bertemu dengan ahli baru dalam keluarga.

 Ainul Mardhiah. Ahli baru dalam keluarga sebelah saya.

Malaikat kecil ini adalah anak pertama kepada adik perempuan sulung saya. Dilahirkan pada 28 October 2013. Ini adalah cucu perempuan yang ke empat bagi mak abah saya. Saya, 2 orang, adik lelaki saya seorang dan ini yang ke-empat. Semuanya heroin, belum ada hero lagi. Insha Allah adik perempuan saya yang kedua dijangka akan melahirkan seorang hero pada hujung bulan ini. Kedua-dua adik perempuan saya ini berkahwin pada hari yang sama. Walau apa pun, setinggi-tinggi kesyukuran di atas kehadiran malaikat kecil pemberian Allah ini.


2 NOVEMBER 2013 : MAJLIS AQIQAH, KESYUKURAN DAN ULANG TAHUN KELAHIRAN

Pada hari ini, ada seorang saudara di sebelah keluarga abang ipar saya memohon beliau untuk menguruskan kenduri aqiqah dan kesyukuran untuk anak lelakinya. Majlis berlangsung di rumah abang ipar saya iaitu abang kepada isteri saya, Sha. Abang ipar saya ini agak terkenal di kawasan Sungai Petani dan kawasan berdekatan bahkan juga di Kuala Lumpur kerana beliau adalah seorang pengamal perubatan tradisional dan alternatif. Sebut saja As Syakirin pasti orang kenal. Pernah muncul sebanyak 13 slot di dalam Exposure Mistik di Astro.

Dua ekor kambing tumbang untuk dijadikan juadah pada majlis ini. Di kesempatan ini juga kami meraikan sambutan hari jadi untuk sesiapa yang dilahirkan pada bulan November termasuk Sha dan dua anak buah kami.

 Antara menu-menu yang dihidangkan. Memang best...

Semua menu yang dihidangkan tersangatlah menarik. Rugi sekiranya tak makan semua. Pulut yang dimakan dengan durian ataupun kari ayam. Laksa beras yang ditempah khas, sup daging dan yang paling 'best' gulai kambing dengan batang pisang. Minuman pulak air oren asam boi yang sejuk... Perghhh, menyelerakan. Kombinasi yang terbaik.

Saya tak pasti sama ada di tempat lain ada gulai dengan batang pisang sebab masih belum terjumpa selain kenduri di sebelah keluarga Sha. Kena pula dengan daging kambing. Abang ipar dan bapa mertua saya memang pakar dalam menyediakan gulai ini.

Saya ingat lagi, dulu sebelum kahwin memang saya langsung tak makan daging kambing. Saya mula makan pada malam saya bernikah, gulai kambing dengan batang pisang tu lah. Dan sehingga ke hari ni, bila ada hidangan kambing je saya memang pantang. Pantang jumpa memang kena makan.

Saya rasa cukup setakat ini dahulu. Ada kerja yang saya nak kena selesaikan. Tapi masih berbaki 2 hari lagi pengalaman yang saya nak ceritakan. Dalam entri yang berikutnya lah. Ini pun dah cukup panjang, harap tidak membosankan.  Kita jumpa lagi dalam sambungan di entri berikutnya.

Wassalam...

No comments:

Post a Comment