Search This Blog

Thursday 21 November 2013

JUMAAT : KELEBIHAN SAF HADAPAN

Assalamualaikum w.b.t...

"APA YANG KITA FIKIR,
 APA YANG KITA RASA,
 APA YANG KITA CAKAP,
 APA YANG KITA BUAT,
 SEMUANYA ADALAH DOA"

Salah satu keistimewaan hari Jumaat adalah di mana pada hari yang mulia ini Allah akan memakbulkan doa-doa yang dipohon oleh umat-Nya.

Alhamdulillah, salah satu doa saya hari ini dimakbulkan. Sebelum melangkah nak ke masjid untuk sembahyang Jumaat tadi saya berniat nak duduk di saf paling depan. Alhamdulillah niat saya tercapai. Allah permudahkannya untuk saya. Sampai saja di masjid seperti ada satu lorong yang dibuka kepada saya untuk terus ke depan tapi tak lah terus ke saf pertama. 

Menjelang waktu solat, dibukakan lagi lorong kepada saya untuk terus ke hadapan sehingga saf yang kedua. Walaupun tak dapat nak terus ke saf pertama, tapi saya bersyukur sangat. Insha Allah, mungkin minggu depan saya dapat bersolat di saf pertama pulak.



Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesungguhnya jika manusia mengetahui kelebihan yang tersirat di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak dapat memperolehinya melainkan dengan melakukan undian nescaya mereka akan melakukanya…. (biarpun mereka terpaksa bertungkus lumus kerananya).”
Riwayat Bukhari. (Sahih al Bukhari (jil.2, hlm.96, no.615))
 

Daripada Ubai bin Kaab r.a, katanya:Rasulullah SAW telah bersabda: 

"Sesungguhnya saf pertama solat berjamaah bandingannya adalah seperti saf para malaikat. Justeru itu, jika kamu mengetahui tentang kelebihan tersirat di sebalik saf yang pertama nescaya kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya.”

Riwayat Abu Daud. (Sunan Abi Daud (Jil.2, hlm. 259-260, no.550))

 

Masih ramai dikalangan kita yang tidak tahu akan kelebihan bersolat di saf pertama dan disebabkan itulah jika dilihat ramai yang tidak mahu melangkah ke hadapan bila ada ruang kosong di saf hadapan dan juga tidak datang awal ke masjid.

Sekiranya mereka benar-benar tahu akan kelebihannya, pasti ramai yang akan berlumba-lumba untuk pergi ke masjid dengan awal dan bersolat di saf yang paling depan.
 

KELEBIHAN SAF PERTAMA

1. Allah SWT dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas Jemaah saf pertama
 
Daripada Abu Umamah r.a, katanya : Rasulullah SAW telah bersabda:

"Sesungguhnya Allah Taala dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas para Jemaah yang berada di dalam saf pertama solat berjamaah. 

Sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah dengan saf yang kedua?’ 

Jawab Rasulullah: ‘Sesungguhnya Allah Taala dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas saf pertama. 

Sahabat bertanya lagi: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah dengan saf yang kedua?’ 

Lalu Rasulullah menjawab: ‘Ya, begitu juga dengan saf yang kedua.”

Riwayat Ahmad bin Hambal (Al Fath al-Rabbani li Tartib Musnad al Imam Ahmad bin Hambal (Jld.5, hlm. 320, no. 1480))


2. Rasulullah SAW berselawat ke atas Jemaah saf pertama dan kedua
 
Daripada al-‘Irbat bin Sariah r.a bahawa Rasulullah SAW telah berselawat ke atas para Jemaah yang berada di dalam saf pertama sebanyak tiga kali, sementara ke atas saf yang kedua hanya sekali.” 

Riwayat an-Nasai ( Sunan an-Nasai (Jil. 2 hlm. 92-93). Menurut Syeikh al Arna’ut, hadis ini sanadnya sahih atas syarat muslim)



Terdapat satu kisah bagaimana Nabi SAW mendidik sahabat dalam mengerjakan solat berjemaah. Daripada Sa'ed Al-Khudry R.A. bahawa Rasulullah SAW mendapati ada di kalangan sahabatnya melambat-lambatkan diri mereka untuk menyertai saf pertama, lantas Baginda SAW mengingatkan mereka:

"Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka."

-Hadis riwayat Muslim-


Dalam sebuah hadis yang lain pula, Nabi SAW ada mengatakan: 

"Hadirilah solat Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya."

-Hadis riwayat Imam Ahmad-  

Allahu Akbar...

Begitu besar kehebatan dan keistimewaan bersolat di saf pertama ni terutamanya pada solat Jumaat. Amat rugi jika kita tidak mengendahkannya.

Marilah kita sama-sama mengambil setiap pesanan yang disampaikan oleh Nabi SAW sebagai pedoman supaya kita tidak ketinggalan dan membiarkankan diri kita memilih saf belakang untuk bersolat di masjid lebih-lebih lagi pada solat Jumaat. Jangan biarkan diri kita berasa selesa dan seronok bersolat di saf belakang, sebaliknya mulalah memilih dan segera mara ke saf paling depan dan hampir dengan imam kerana sekarang kita sudah tahu akan kelebihannya. 

Semoga kita mendapat shafaat dan ganjaran yang besar di sisi Allah.

Wallahu A'lam...

Saturday 9 November 2013

BURGER KUKUS+BAKAR LAVA

Assalamualaikum w.b.t,

Semoga semua berada di dalam keadaan sihat dan ceria selalu.

Harini saya nak kongsi pengalaman pasal makan pulak kerana ada sesuatu yang menarik dan lain bagi saya, jadi saya nak kongsi dengan semua. Mungkin ada yang timbul perasaan nak cuba dihujung minggu ni.

Pernah makan burger bakar? Mesti pernah kan. Sekarang ni dah bermacam-macam jenis burger yang ada. Dulu setakat burger biasa saja, yang di masak atas kuali leper. Lepas tu mula timbul burger goreng, kemudian sekarang ni 'famous' dengan burger bakar pulak. Apa yang saya tahu, burger bakar yang paling 'famous' adalah Burger Bakar Abang Burn. Setakat yang saya tahu, setakat ni ada sekurang-kurangnya 18 cawangan Burger Bakar Abang Burn seluruh Semenanjung Malaysia. Bayangkan pendapatan bulanan Abang Burn hanya dengan menjual burger.


Tapi dalam entri kali ini saya bukan nak bercerita tentang Burger Bakar Abang Burn. Ini lain sikit sebab ada sedikit inovasi oleh pemilik yang mencipta menu baru untuk burger ini. Burger yang saya maksudkan adalah Burger Kukus+Bakar Lava. Hmmmm, namanya saja pun dan best...

Inilah kedai yang saya maksudkan. Ianya terletak di Saujana Utama

Terima kasih diucapkan kepada adik saya dan suaminya kerana membawa saya dan isteri sekeluarga ke sini. Kalau tidak saya pun tak tahu yang kedai ini wujud dan terletak tak jauh dari rumah kami.

Antara menu-menu yang ditawarkan

Bermacam tema burger yang ditawarkan di kedai ini. Ada tema watak-watak utama dari kartun Sponge Bob seperti Mr Krabb, Patrick dan Sponge Bob sendiri, oblong, hotdog monster dan juga exotic yang menawarkan daging rusa, arnab dan burung unta. Harga adalah dari serendah RM 4.50 hinggalah RM 20. Boleh buat pilihan bergantung kepada selera masing-masing.

Apa yang menarik di sini adalah, daging burger atau patty itu dibuat sendiri dengan adunan rahsia kemudia dikukus dahulu sebelum di bakar. Disudahi dengan sos buatan sendiri yang melimpah-limpah seperti lava gunung berapi. Mungkin dari situlah timbulnya nama Burger Lava.

Order kami dah sampai. Masa untuk makan...

Disebabkan ini sesuatu yang baru dan ada pilihan daging exotic, saya memilih untuk mencuba daging rusa, Sha pilih daging burung unta, adik ipar saya bantai triple special oblong dan selebihnya Meatball Lava untuk semua. Semua makanan berserta air yang kami order untuk 4 orang makan ni berjumlah RM 56.40. Bagi saya OK la...

Pendapat saya untuk burger ni, OK la. Nak kata sedap sangat pun tak, nak kata tak sedap pun tak. Di tengah-tengah tapi tidak rugi untuk mencuba sesuatu yang baru. Persembahan yang menarik.

Kepada sesiapa yang dah mula meleleh air liur tu dan dah buat perancangan, "Aku mesti try burger ni.", anda boleh cuba kunjungi cawangan yang ada.


Kedai yang kami pergi adalah di Saujana Utama. Ianya terletak di bangunan baru bersebelahan dengan pasaraya Central Mart dan betul-betul di hadapan parking lot. Jadi tidak menjadi masalah untuk tempat meletak kereta.

Diharap entri ini dapat membantu anda membuat pilihan kepada yang masih tercari-cari apa yang anda nak makan dihujung minggu bersama keluarga ataupun teman. Tak rugi mencuba sesuatu yang baru.

Wassalam...

Thursday 7 November 2013

BALIK KAMPUNG : PART 2

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, kita bertemu lagi. Terima kasih kerana masih setia mengikuti entri saya. Kali ni saya nak sambung pengalaman saya sekeluarga balik kampung, kesinambungan dari entri saya yang sebelum ini.

3 NOVEMBER 2013 : ROMBONGAN MEMINANG

Antara salah satu tujuan utama kami balik kampung adalah untuk majlis ini. Majlis peminangan ini adalah untuk adik ipar lelaki saya yang turut balik bersama kami. Dia bekerja sebagai seorang jurutera di Kapar Energy Ventures.


Terus terang saya katakan, ini adalah pengalaman pertama saya mengikuti rombongan meminang. Maklumlah, zaman saya bertunang dulu saya tak dibenarkan untuk ikut sekali. Tapi sekarang zaman dah berubah. Ibu bapa lebih bersikap terbuka. Alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar kerana pihak kedua-dua belah keluarga sudah saling mengenali. Bapa saudara saya juga tinggal berdekatan dan sahabat kepada bapa pihak perempuan. Jadi bapa saudara saya hadir sebagai ahli di pihak perempuan, bukan di pihak kami.

4 NOVEMBER 2013 : MASA UNTUK KELUARGA

Sehari sebelum balik ke Sungai Buloh, tak ada urusan penting yang nak dilakukan. Masa hanya dihabiskan bersama keluarga saya. Lupa nak dimaklumkan, saya dan Sha tinggal dalam satu bandar yang sama, Sungai Petani. Jarak dari rumah saya ke rumah Sha hanyalah 7km jadi dah menjadi kebiasaan setiap kali balik kampung kami akan bergilir-gilir untuk tidur dan menghabiskan masa bersama kedua-dua belah pihak keluarga. Jika malam permulaan di rumah saya, esoknya di rumahnya dan seterusnya di rumah saya pula. Begitulah rutin kami bila balik kampung, yang penting anak-anak dan mak abah kami punya masa yang maksimum untuk bersama.

Pada hari ini, anak-anak saya banyak menghabiskan masa bersama baby baru, Ainul Mardhiah dan bermain dengan seorang lagi sepupu mereka, Puteri Qaleesya, anak kepada adik lelaki saya.

Saya pula ada tugasan yg perlu dibuat. Mak saya nak sangat TV nipis/flatscreen. Dari hari mula saya sampai dia dah minta saya carikan. Ni mesti sebab tengok jiran-jiran semua dah guna tv LED, LCD bagai yang nipis je, jadi dia pun tak nak ketinggalan. Padahal dah ada 2 tv kat dalam rumah sedangkan yang duduk di rumah tu hanya mak, abah dan adik yang bongsu. Sampaikan anak saya bertanya, "Ayah, kenapa banyak sangat TV kat rumah tok?". Susah saya nak jawab tapi, permintaan mak tetap saya turutkan. Dapat menggembirakan mak pasti akan membawa keberkatan dalam hidup dan apa yang saya buat.

LG LED TV 42inci saya dapatkan untuk mak saya. Walaupun agak mahal, tapi kualiti gambar yang saya pentingkan. Siap gantungkan kat dinding lagi atas permintaan mak saya, takut budak-budak kecil main kalau letak biasa ja. Alhamdulillah, dah selesai. Tunggu Astro je datang pasang, dulu saya offer nak pasang Astro mak tak nak. Alasannya adik saya yg bongsu asyik layan cerita Korea, tahun ni SPM pulak tu. Tapi itu pun dah saya uruskan. Lapang rasa di hati, dapat berkhidmat untuk mak pula. Dulu dia yang tunaikan segala permintaan kita, kali ni tugas kita pula.


Pada sebelah petang pula saya bawa anak-anak bermain di taman yang tak jauh dari rumah. Seharian mereka terperuk di rumah, jadi ambil sedikit masa untuk mereka bermain di luar. Buka minda dan gerakkan badan.


5 NOVEMBER 2013 : BERGERAK BALIK KE KL

Saya menjangkakan kereta akan banyak dan trafik akan sesak menghala ke Kuala Lumpur jadi saya ambil keputusan untuk bertolak lebih awal, selepas Zohor.

Dari rumah mertua kami bertolak ke rumah saya untuk mengambil adik saya yang akan turut balik bersama. Lebih kurang jam 3 petang kami bertolak setelah semua barang dimasukkan ke dalam kereta.

Betul tekaan saya, kereta memang banyak. Trafik mula perlahan selepas tol Sungai Dua tetapi masih lancar. Keadaan berterusan sehingga ke Juru dan Sungai Perak. Di Sungai Perak kami singgah sebentar untuk solat Asar. 

Bermula dari Sungai Perak menghala ke terowong Menora, trafik bertambah teruk. Kenderaan bergerak sangat perlahan mendaki bukit. Dan setiap kali kesesakan lalulintas di lebuh raya, fenomena yang sama dapat saya lihat di mana lorong kiri akan lebih laju dari lorong kanan sedangkan lorong kanan adalah laluan laju. Sikap pemandu Malaysia, lebih pentingkan diri sendiri  apabila hendak cepat dan memotong barisan. Anda lebih faham apa yang saya ingin sampaikan.

Alhamdulillah, walaupun agak lambat, tapi kami tiba di Sungai Buloh dengan selamat. Lebih kurang jam 8 malam. Terlepas nak tengok cerita Love You Mr Arrogant. Hehehe...

Cukup sekadar di sini. Semoga bertemu lagi di entri berikutnya. Terima kasih kerana setia membaca sehingga penghabisan.

Wassalam...

Wednesday 6 November 2013

BALIK KAMPUNG : PART 1

Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, bertemu lagi di entri kali ini. Rasa macam dah lama tak pos entri baru. Lama bercuti di kampung jadi tak sempat nak menulis. Aktiviti di kampung pun agak penuh, beri tumpuan menghabiskan masa dengan keluarga jadi tak sempat nak berkongsi.

Dah agak lama kami sekeluarga tak balik kampung. Kali terakhir pun pada Hari Raya Aidilfitri. Lepas daripada tu tak berkesempatan nak balik termasuk pada Hari Raya Korban baru-baru ni. Memandangkan minggu lepas ada cuti Deepavali lepas tu disambung pula dengan Awal Muharram, Alhamdulillah peluang ini kami ambil untuk balik ke kampung. Ada beberapa urusan dan majlis yang perlu di hadiri juga menjadi asbab lain untuk balik. Kebetulan seorang adik saya dan adik ipar pun nak ikut balik sekali.

Selepas semua barang dah disiapkan dan dimasukkan ke dalam kereta, kami pun terus bergerak dari Sungai Buloh. Lebih kurang dalam jam 8 malam. Macam biasalah, minyak dah siap di isi, Touch n Go pun dah di tambah nilai, terus masuk ke lebuh raya lah.

Perjalanan agak lancar di lebuh raya menghala ke utara. Kenderaan pun tak lah banyak sangat cuma ada di kawasan-kawasan tertentu trafik agak perlahan terutamanya di kawasan berbukit. Kenderaan agak perlahan untuk mendaki lebih-lebih lagi kenderaan berat.

Jarak perjalanan dari Sungai Buloh ke Sungai Petani adalah lebih kurang 360km. Tepat jam 12 malam/pagi kami tiba di tol keluar Sungai Petani Selatan. Alhamdulillah perjalanan kami dilindungi-Nya dan kami tiba dengan selamat. Destinasi bermalam yang pertama adalah rumah saya, kerana kami nak bertemu dengan ahli baru dalam keluarga.

 Ainul Mardhiah. Ahli baru dalam keluarga sebelah saya.

Malaikat kecil ini adalah anak pertama kepada adik perempuan sulung saya. Dilahirkan pada 28 October 2013. Ini adalah cucu perempuan yang ke empat bagi mak abah saya. Saya, 2 orang, adik lelaki saya seorang dan ini yang ke-empat. Semuanya heroin, belum ada hero lagi. Insha Allah adik perempuan saya yang kedua dijangka akan melahirkan seorang hero pada hujung bulan ini. Kedua-dua adik perempuan saya ini berkahwin pada hari yang sama. Walau apa pun, setinggi-tinggi kesyukuran di atas kehadiran malaikat kecil pemberian Allah ini.


2 NOVEMBER 2013 : MAJLIS AQIQAH, KESYUKURAN DAN ULANG TAHUN KELAHIRAN

Pada hari ini, ada seorang saudara di sebelah keluarga abang ipar saya memohon beliau untuk menguruskan kenduri aqiqah dan kesyukuran untuk anak lelakinya. Majlis berlangsung di rumah abang ipar saya iaitu abang kepada isteri saya, Sha. Abang ipar saya ini agak terkenal di kawasan Sungai Petani dan kawasan berdekatan bahkan juga di Kuala Lumpur kerana beliau adalah seorang pengamal perubatan tradisional dan alternatif. Sebut saja As Syakirin pasti orang kenal. Pernah muncul sebanyak 13 slot di dalam Exposure Mistik di Astro.

Dua ekor kambing tumbang untuk dijadikan juadah pada majlis ini. Di kesempatan ini juga kami meraikan sambutan hari jadi untuk sesiapa yang dilahirkan pada bulan November termasuk Sha dan dua anak buah kami.

 Antara menu-menu yang dihidangkan. Memang best...

Semua menu yang dihidangkan tersangatlah menarik. Rugi sekiranya tak makan semua. Pulut yang dimakan dengan durian ataupun kari ayam. Laksa beras yang ditempah khas, sup daging dan yang paling 'best' gulai kambing dengan batang pisang. Minuman pulak air oren asam boi yang sejuk... Perghhh, menyelerakan. Kombinasi yang terbaik.

Saya tak pasti sama ada di tempat lain ada gulai dengan batang pisang sebab masih belum terjumpa selain kenduri di sebelah keluarga Sha. Kena pula dengan daging kambing. Abang ipar dan bapa mertua saya memang pakar dalam menyediakan gulai ini.

Saya ingat lagi, dulu sebelum kahwin memang saya langsung tak makan daging kambing. Saya mula makan pada malam saya bernikah, gulai kambing dengan batang pisang tu lah. Dan sehingga ke hari ni, bila ada hidangan kambing je saya memang pantang. Pantang jumpa memang kena makan.

Saya rasa cukup setakat ini dahulu. Ada kerja yang saya nak kena selesaikan. Tapi masih berbaki 2 hari lagi pengalaman yang saya nak ceritakan. Dalam entri yang berikutnya lah. Ini pun dah cukup panjang, harap tidak membosankan.  Kita jumpa lagi dalam sambungan di entri berikutnya.

Wassalam...