Search This Blog

Sunday 20 October 2013

"JEPUN" > "PERANCIS" > GENTING HIGHLANDS DALAM SATU HARI

Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, dengan rezeki yang Allah bagi, baru-baru ni berpeluang untuk bawa anak-anak makan angin. Dah lama rasanya tak bawa anak-anak bercuti. Lagipun sempena meraikan Hari Lahir Awliya Batrisya(Kakak) yang ke-5, saya dan isteri, Sha buat keputusan untuk bawa anak-anak jalan-jalan makan angin dan "melihat dunia"

Seronok bukan main Kakak bila saya bagitau dia yang kami nak bawa dia ke Jepun dan Perancis dalam hari yang sama. Nampak hebat bukan, Jepun dan Perancis dalam hari yang sama. Sebenarnya bukan ke luar negara pun, masih lagi dalam negara. Tak perlu pun untuk naik kapal terbang, hanya berkereta. Tempat yang saya maksudkan adalah Bukit Tinggi, Pahang.

Di situ terdapat tempat-tempat yang menarik untuk dilawati antaranya Japanese Village, Colmar Tropicale dan Taman Haiwan. Boleh la nak merasa suasana berada di luar negara, yang penting seronok.  

Ikutilah perjalanan kami sepanjang satu hari tersebut. Semoga boleh menjadi rujukan kepada sesiapa saja yang ingin bercuti dan meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak dan keluarga.

Jarak dari Sungai Buloh ke Bukit Tinggi lebih kurang 55km dan mengambil masa dalam 1 jam perjalanan dengan kereta. Kami bergerak seawal jam 10 pagi.

 Sebelum naik ke atas, kena beli tiket dulu tapi tak perlu turun dari kereta.

Destinasi pertama adalah Japanese Village. Ia terletak pada ketinggian lebih kurang 3,500 kaki dari aras laut. Punyalah curam nak naik, nasib berkereta. Itupun masih perlu berjalan untuk ke Japanese Village. Di sini memang banyak "exercise" lah. Apa yang terdapat di Japanese Village? Ini dia...


Di dalam kolam tu terdapat ikan kap/koi yang besar dan cantik. Boleh beli makanan ikan dengan harga RM1 untuk menarik ikan-ikan tu lebih dekat dan mudah bergambar. Anak-anak memang suka.

Dah puas berjalan di Japanese Village, destinasi seterusnya adalah Colmar Tropicale (Replika Bandar Perancis). Kedudukannya di bawah sedikit dan agak jauh dari Japanese Village jadi perlu berkereta untuk turun ke bawah. Tempat parking di sediakan percuma. 

Colmar Tropicale adalah koleksi replika bangunan-bangunan dari perkampungan di Perancis pada kurun ke 16. Bangunan-bangunan ini bukan hanya sekadar replika, tapi adalah rumah tumpangan ataupun resort. Kadar harga untuk semalam adalah serendah RM400 kalau saya tidak silap.


Puas bejalan di bandar Perancis, kami turun ke bawah lagi. Di situ terdapat taman haiwan. Itu destinasi kami seterusnya. Tiket masuk adalah RM3 seorang. Kanak-kanak di bawah 2 tahun adalah percuma jadi kami hanya perlu bayar untuk 3 orang sahaja. 
 
Dengan berakhirnya masa kami di Taman Haiwan, maka tamatlah sudah percutian kami di Bukit Tinggi. Tapi memandangkan masa yang ada masih banyak, takkanlah nak balik terus kan. Genting Highlands dekat je pun. Dah alang-alang bercuti di kawasan situ, kami buat keputusan untuk ke Genting Highands pulak.

Jarak untuk ke puncak Genting Highlands dari Taman Haiwan lebih kurang 30km dan akan memakan masa hampir satu jam disebabkan mendaki bukit dan jalan berliku-liku. Jadi kami ambil keputusan untuk parking di Skyway sahaja dan naik kereta kabel ke atas. Dapatlah juga anak-anak merasa perasaan naik kereta kabel ke atas.




Kebetulan saya ada seorang rakan bikers yang bekerja di Hotel Resort World jadi kami pun berjumpa dan minum bersama sambil bersembang. Dari apa yang dia beritahu, Outdoor Theme Park sedang ditutup untuk menggantikan alat permainan yang baru. Semua permainan yang ada sekarang akan di gantikan. Ini dilakukan oleh pihak pengurusan yang baru mengambil alih taman permainan itu dan mahukan permainan yang baru dan lebih menarik dimasukkan bagi menarik lebih banyak pelawat.

Permainan yang ada sekarang sudah tidak mampu menarik minat pelawat jadi pelawat yang naik ke atas untuk bermain permainan di Outdoor Theme Park semakin berkurangan. Tambahan pula dengan adanya Lost World of Tambun di Perak dan Legoland di Johor. Proses penggantian semula permainan baru dan pembaikan sistem pengurusan dijangka mengambil masa 3 tahun dan dalam tempoh itu jugalah Outdoor Theme Park akan di tutup.

Yang menjadi tarikan sekarang hanyalah Indoor Games. Sekurang-kurangnya dapat jugalah kami berjalan-jalan di situ.


Tamat sudah perjalanan percutian sehari kami. Kami tiba di rumah lebih kurang jam 8.30 malam. Satu hari yang meletihkan tapi dalam keseronokan.

Di harap entry ini dapat menjadi rujukan kepada sesiapa yang ingin mencari tempat bercuti dan berseronok untuk membawa anak-anak dan keluarga. Bagi saya ini adalah satu percutian budget. Tiga tempat dalam satu hari memang menyeronokkan. Bulan depan kami bercadang untuk bercuti dan bermalam di satu tempat yang menarik. Di mana?? Nantikan entry yang seterusnya...

Syukur Alhamdulillah dengan rezeki dan kenikmatan yang Allah berikan.

Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment